Langkah lebih konkrit untuk Gaza

Langkah lebih konkrit untuk Gaza

GENCATAN senjata perlu disusuli langkah-langkah lebih konkrit, termasuk tekanan antarabangsa untuk menghentikan kezaliman Israel bagi memastikan keadilan bagi rakyat Palestin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENCATAN senjata yang diumumkan antara Hamas dan Israel selepas 465 hari konflik yang meragut puluhan ribu nyawa telah membawa sinar harapan kepada rakyat Palestin.

Perjanjian ini bukan sahaja menghentikan serangan buat sementara waktu, tetapi juga membuka ruang untuk meredakan ketegangan dan memberikan sedikit harapan kepada mangsa perang.

Namun, persoalan besar yang tidak boleh diabaikan ialah sejauh mana gencatan senjata ini mampu membawa penyelesaian jangka panjang yang adil dan menyeluruh, bukannya sekadar jeda dalam konflik yang berpanjangan.

Oleh itu, gencatan senjata ini perlu disusuli langkah-langkah lebih konkrit, termasuk tekanan antarabangsa untuk menghentikan kezaliman Israel bagi memastikan keadilan bagi rakyat Palestin, dan menjamin hak asasi mereka diakui sepenuhnya.

Pemantauan di peringkat global dan akauntabiliti diperlukan dalam memastikan terma gencatan senjata dilaksanakan dengan berkesan, khususnya terhadap Israel yang sering kali mencabuli perjanjian tanpa sebarang akibat.

Tanpa mekanisme pengawasan yang ketat dan langkah pencegahan yang berkesan, Israel berisiko untuk terus bertindak sewenang-wenangnya, memulakan, memprovokasi serangan dan membahayakan nyawa penduduk Palestin, sebagaimana yang telah banyak berlaku sebelum ini.

Keadaan ini benar-benar mencemarkan kredibiliti perjanjian gencatan senjata dan merosakkan usaha global untuk mencapai keamanan yang berkekalan.

Oleh itu, sebarang pelanggaran mesti dikenakan tindakan keras tanpa kompromi.

Langkah ini penting untuk menjamin keadilan kepada rakyat Palestin, melindungi hak mereka yang telah lama dinafikan dan memastikan usaha keamanan yang sedang berlangsung tidak hanya menjadi sekadar simbol tanpa makna.

Selain itu, advokasi global untuk Palestin memerlukan tindakan kolektif yang lebih tegas dan berterusan, termasuk konsisten memboikot, memulaukan dan mengadakan sekatan terhadap entiti yang menyokong penjajahan Israel sehingga keadilan tertegak.

Terbukti, tindakan ini memberikan impak yang berkesan untuk menekan sumber sokongan ekonomi, politik dan logistik kepada rejim Israel. Ia juga merupakan strategi penting untuk melemahkan kekuatan rejim tersebut.

Keberanian bertindak adalah kunci kepada penyelesaian kezaliman terhadap Palestin mahupun mana-mana kezaliman di dunia. Masyarakat antarabangsa perlu komited untuk menghentikan sebarang bentuk penindasan.

Setiap individu dan negara bertanggungjawab menyuarakan isu ketidakadilan dan menyokong perjuangan untuk kebebasan dan hak. Tindakan kita hari ini menentukan masa depan generasi akan datang. Jangan biarkan kezaliman dinormalisasikan. Dunia berada di tangan kita dan kitalah yang bertanggungjawab menghentikan segala ketidakadilan yang berlaku.-UTUSAN

BADLISHAH SHAM BAHARIN
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN