PEMPENGARUH media sosial bukan sekadar figura hiburan, bahkan menjadi ejen perubahan sosial dan budaya. Mereka memainkan peranan penting dalam membentuk pendapat awam, mempengaruhi gaya hidup dan juga memberi impak kepada keputusan pembelian pengguna.
Kini, peranan mereka semakin menonjol dan memberi impak besar kepada masyarakat.
Dalam sektor pelancongan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mula menggunakan khidmat pempengaruh untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, terutamanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. Ini menunjukkan pengiktirafan kerajaan terhadap keberkesanan pempengaruh dalam menarik minat generasi muda dan pelancong antarabangsa.
Walau bagaimanapun, fenomena ini juga telah membawa cabaran tersendiri. Terdapat kebimbangan mengenai kredibiliti sesetengah pempengaruh dan kesan negatif yang mungkin timbul akibat pengaruh mereka yang meluas. Oleh itu, untuk menangani isu ini, kecerdasan emosi (EQ) memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk pempengaruh yang berintegriti dan berkualiti tinggi.
Menurut Model EQ Goleman-Noriah (2004), terdapat tujuh domain utama EQ iaitu kesedaran kendiri, regulasi kendiri, motivasi, empati, kemahiran sosial, kerohanian dan kematangan.
Walau bagaimanapun, penting menilai kandungan yang dihasilkan dan tidak mengikut bulat-bulat apa yang dipaparkan di media sosial, sambil menghargai mereka yang menunjukkan EQ yang tinggi dalam interaksi di platform digital. Pada masa sama, pempengaruh perlu memikul tanggungjawab yang besar terhadap kandungan yang mereka hasilkan dan tindakan mereka di alam maya.
Dalam dunia media sosial yang semakin kompleks ini, EQ yang tinggi menjadi aset yang tidak ternilai bagi pempengaruh yang ingin mengekalkan integriti. Ia membolehkan mereka membina hubungan tulen, menangani cabaran dengan bijak dan memberi impak positif kepada pengikut mereka. – UTUSAN
NURUL NISHA MOHD. SHAH & MOHD. RADZMAN BASINON
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
& Sixtysix Action Academy










