PROGRAM jerayawara pendidikan tinggi negara anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Jom Masuk U 2025 (JMU 2025) bakal memulakan siri jelajah ke 10 zon di seluruh Malaysia bermula pada 22 Februari hingga 18 Mei 2025.
Ini bagi memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan maklumat kemasukan ke institusi pendidikan tinggi (IPT) selain menggalakkan pelajar untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Ia juga bertujuan untuk mempromosi maklumat mengenai program pendidikan yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi di bawah KPT yang merangkumi Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), politeknik, Kolej Komuniti (KK) serta penglibatan Mara Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT). JMU 2025 menyasarkan kumpulan pelajar yang menduduki peperiksaan SPM, STPM, Matrikulasi, Asasi, STAM dan Diploma/Setaraf.
Calon-calon lepasan SPM dan STPM/Setaraf boleh membuat permohonan UPUOnline fasa pertama yang dibuka mulai 10 Februari 2025 hingga 14 Mac 2025 (5.00 petang) dan 14 April 2025 hingga 18 Mei 2025 bagi permohonan fasa kedua.
Pelbagai aktiviti menarik turut ditawarkan sepanjang JMU 2025 berlangsung antaranya pameran, sesi konsultasi UPUOnline, konsultasi penajaan/ biasiswa/ pinjaman dan bantuan kewangan pendidikan tinggi, terjah reruai IPTA, cabutan bertuah, jelajah kampus, persembahan pelajar, aktiviti bersama alumni, ruang interaktif, aktiviti keusahawanan, dan banyak lagi.
KPT menjemput semua pihak khususnya pelajar, ibu bapa, penjaga, guru, kaunselor dan orang awam agar turut serta dalam JMU 2025 dan mengucapkan selamat maju jaya bagi pemohon UPUOnline Sesi Akademik 2025/2026.
Sebarang pertanyaan berkenaan dengan permohonan UPUOnline tersebut boleh dimajukan ke Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA. – UTUSAN
BAHAGIAN KEMASUKAN PELAJAR IPTA
JABATAN PENDIDIKAN TINGGI










