Cadangan ‘gila’ bila AS ambil alih Semenanjung Gaza

Cadangan ‘gila’ bila AS ambil alih Semenanjung Gaza

TINDAKAN Amerika Syarikat (AS) untuk mengambil alih Semenanjung Gaza hanya merosakkan reputasi negara itu yang sentiasa mendukung prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, baru-baru ini berikrar negaranya itu akan mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan keluar ke negara lain.

Trump mendedahkan rancangannya yang sungguh mengejutkan itu, tanpa memberikan butiran terperinci, pada satu sidang akhbar bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington.

Pengumuman berkenaan menyusuli satu lagi cadangan menggemparkan daripada Trump yang berhasrat memindahkan rakyat Palestin keluar dari Semenanjung Gaza ke negara-negara jiran secara kekal sambil memanggil Semenanjung Gaza sebagai ‘tapak perobohan’.

Cadangan AS untuk mengambil alih Semenanjung Gaza dan memindahkan rakyat Palestin ke negara lain adalah cadangan paling ‘gila’. Ramai pihak yang menentang cadangan ini termasuk sekutu kuat AS di Eropah dan Asia. Daripada membuang masa melayan cadangan dari Trump ini, lebih baik warga Israel yang berada di Timur Tengah berpindah dan berhijrah ke negara lain kerana mereka tubuhkan negara Israel secara haram di tanah milik rakyat Palestin di Timur Tengah pada 1948.

Antara negara yang boleh diberi pertimbangan untuk rakyat Israel berpindah dan berhijrah adalah ke AS.

Cadangan yang dikemukakan Trump ini bukanlah satu cadangan baharu. Tahun lalu, Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, memberitahu media pilihan terbaik untuk Gaza adalah dengan rakyat Palestin berhijrah ke negara Arab lain secara sukarela.

Memandangkan AS amat cinta dan sayang pada Israel, AS sepatutnya membenarkan rakyat Israel untuk berhijrah secara beramai-ramai ke sana atau menawarkan mana-mana tanah yang ada di dalam negaranya untuk dijadikan sebuah negara khusus untuk rakyat Israel.

Tindakan yang diambil ini sekali gus merosakkan reputasi AS sebagai sebuah negara yang sentiasa mendukung prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.

Umat Islam dan pemimpin negara-negara Islam harus bangkit daripada tidur mereka. Mereka tidak boleh hanya duduk diam serta tidak melakukan apa-apa bagi membantu rakyat Palestin yang sedang hadapi masalah besar. Sudah sampai masanya umat Islam dan pemimpin negara-negara Islam tidak hanya berani mengucapkan kata-kata simpati dan jeritan bantahan atau rasa tidak puas hati mereka terhadap apa yang berlaku.

Umat Islam juga tidak harus hanya menumpukan usaha mengadakan demonstrasi atau protes jalanan dan usaha memboikot barangan untuk menyatakan perasaan ketidakpuasan. Kini masanya untuk umat Islam dan pemimpin negara-negara Islam berani bangkit bertindak bagi melindungi umat Islam Palestin yang sedang menderita dan sengsara.

Negara-negara Islam harus mewujudkan pelan bagi menghulurkan sebarang jenis bantuan yang boleh diberikan terus kepada rakyat Palestin khususnya kepada penduduk di Semenanjung Gaza.

Bantuan yang perlu disalurkan ini boleh terdiri daripada bantuan asas kelengkapan ketenteraan, makanan, minuman, perubatan dan lain-lain lagi.

Semua jenis bantuan ini boleh disalurkan kepada penduduk di Semenanjung Gaza melalui semua cara sama ada darat, laut ataupun udara.-UTUSAN

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Profesor Madya, Fakulti Syariah Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN