SEMPENA ulang tahun Planetarium Negara ke-31 ini, beberapa program dirangka khas untuk tarikan pengunjung. Antaranya adalah Hari Terbuka Planetarium Negara dan Bicara Planetarium Negara.
Program bual bicara ini mengupas sejarah Planetarium Negara serta Integrasi Sains melalui seni penceritaan yang disampaikan oleh Professor Tan Sri Dr. Mazlan Othman. Beliau merupakan bekas Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara dan pengasas penubuhan Planetarium Negara.
Pengunjung akan berpeluang merasai pengalaman eksplorasi angkasa melalui tayangan filem planetarium dan kembara simulasi Space Pod. Planetarium Negara turut menawarkan pengalaman baharu melalui pembukaan beberapa ruang pameran bertema yang mengetengahkan konsep pembelajaran sambil berhibur seperti Kincir Angkasa, Sistem suria menurut NASA dan aspek langit.
Turut ditawarkan pelbagai aktiviti pendidikan Planet Kidz yang dilaksanakan di dalam bilik aktiviti baharu di Planetarium Negara, khas untuk kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun.
Planetarium Negara sentiasa komited dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan bidang Astronomi dan Sains Angkasa melalui pelbagai aktiviti pembelajaran sains bukan formal secara interaktif serta program-program pembudayaan Sains Angkasa dan Astronomi.
Hal ini penting bagi memastikan negara tidak ketinggalan untuk menguasai bidang Sains Angkasa dan Astronomi bagi menjamin pembangunan yang menyeluruh dan lestari. Secara tidak langsung usaha ini juga mendukung Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi (DSTIN) 2021-2030 yang menekankan penguasaan ilmu Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) sebagai instrumen sosioekonomi yang berupaya mempertingkatkan tahap ilmu pengetahuan, inovasi, keterangkuman dan kesejahteraan masyarakat.-UTUSAN
KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
Putrajaya










