HIDUP di kampus merupakan fasa penting dalam kehidupan seorang pelajar institut pengajian tinggi (IPT). Ia bukan sahaja melibatkan proses menimba ilmu, tetapi juga membentuk keperibadian dan daya ketahanan mental dalam menghadapi cabaran hidup.
Salah satu cabaran utama yang sering dihadapi oleh pelajar IPT ialah tekanan akademik. Silibus yang padat, tugasan yang bertimbun serta peperiksaan yang mencabar boleh menyebabkan tekanan dan keletihan mental. Untuk mengatasinya, pelajar perlu mengamalkan pengurusan masa yang baik dengan menyediakan jadual belajar yang tersusun. Selain itu, belajar secara berkumpulan dapat membantu memahami sesuatu subjek dengan lebih baik dan mengurangkan tekanan. Tidak kurang pentingnya ialah menjaga kesihatan mental dengan rehat yang mencukupi dan mengamalkan teknik relaksasi seperti meditasi atau bersenam.
Sememtara tanpa perancangan kewangan yang baik, pelajar boleh mengalami masalah kewangan yang serius. Oleh itu, mereka perlu bijak mengurus perbelanjaan dengan menyediakan bajet bulanan dan mengelakkan pembelian yang tidak perlu. Pelajar juga boleh mencari sumber pendapatan sampingan seperti bekerja sambilan atau menjalankan perniagaan kecil-kecilan, asalkan ia tidak mengganggu pelajaran.
Dalam kehidupan di kampus, aspek pergaulan sosial juga memainkan peranan penting dalam membentuk pengalaman seseorang pelajar. Berada di persekitaran baharu dengan pelbagai latar belakang rakan sebaya boleh menjadi cabaran jika tidak ditangani dengan baik. Pelajar perlu bijak memilih rakan yang boleh memberi pengaruh positif dan menyokong mereka dalam mencapai kejayaan akademik. Selain itu, keterlibatan dalam aktiviti kokurikulum seperti kelab dan persatuan dapat membantu membina kemahiran insaniah serta mengembangkan rangkaian sosial yang lebih luas.
Dalam kesibukan menguruskan tugasan dan menghadiri kuliah, ada kalanya pelajar mengabaikan kesihatan, hubungan dengan keluarga dan juga kehidupan sosial. Oleh itu, mereka perlu mengamalkan gaya hidup seimbang dengan memastikan masa yang cukup untuk berehat, bersosial dan melakukan aktiviti yang mereka gemari. Menyediakan jadual yang fleksibel serta mengutamakan keutamaan dalam kehidupan seharian dapat membantu dalam mencapai keseimbangan yang baik.
Selain itu, kebanyakan pelajar IPT akan menghadapi tekanan emosi, sama ada akibat kegagalan akademik, kesunyian atau masalah peribadi. Tekanan ini, jika tidak dikawal, boleh menjejaskan prestasi akademik dan kesihatan mental. Oleh itu, penting bagi pelajar untuk mencari sokongan emosi daripada keluarga, rakan-rakan atau kaunselor universiti.
Dunia kampus juga membuka ruang kepada pelajar untuk meneroka minat dan bakat di luar bidang akademik. Ada yang aktif dalam sukan, seni atau kerja sosial. Aktiviti ini dapat membantu membentuk keperibadian dan meningkatkan daya saing. Oleh itu, pelajar harus mengambil peluang ini untuk mengembangkan potensi diri tanpa mengabaikan tanggungjawab akademik. Penglibatan dalam aktiviti luar bilik kuliah juga dapat membantu membina kemahiran komunikasi, kepimpinan dan pemikiran kritis yang berguna dalam dunia pekerjaan kelak.
Pelajar yang berdaya tahan mampu bangkit daripada kegagalan dan tidak mudah berputus asa. Mereka perlu melihat cabaran sebagai peluang untuk belajar dan berkembang. Selain itu, memiliki sikap positif dan sentiasa bersikap proaktif dalam mencari penyelesaian kepada masalah akan membantu mereka menjadi lebih matang dan bersedia menghadapi dunia sebenar selepas tamat pengajian.-UTUSAN
ANIQ SYAFI ZAIMY
Dengkil, Selangor.










