UNDANG–undang tertinggi dalam negara iaitu Perlembagaan Persekutuan telah melarang perbuatan diskriminasi di bawah Perkara 8 (1) bahawa “Semua orang adalah sama rata di sisi undang–undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang–undang. Begitu juga Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan.
Usaha telah diambil untuk meletakkan isu diskriminasi di bawah undang–undang buruh negara seperti Akta Kerja 1955 (Akta 265), namun ia tidak berjaya dilaksanakan.
Daripada meletakkan isu diskriminasi di bawah mana–mana peruntukan undang–undang atau akta sedia ada, adalah lebih baik sekiranya dapat mewujudkan sebuah akta khusus supaya isu ini dapat diatasi dengan lebih komprehensif dan berkesan.
Dengan adanya akta khusus, semua pihak akan lebih memandang serius terhadap perkara ini serta memudahkan pihak mangsa untuk tampil mengadu dan mendapat keadilan dengan sewajarnya.
Akta ini boleh diwujudkan dengan berpandukan Perlembagaan Persekutuan. Pihak kerajaan boleh merujuk langkah perundangan yang dilakukan beberapa negara seperti Australia, Belgium, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
Isu diskriminasi adalah isu yang boleh menjejaskan kesihatan mangsa yang terlibat. Ini adalah kerana ia boleh memberi kesan kepada tahap kesihatan mental dan emosi mereka.
Sekiranya masalah ini berlarutan, ia boleh memberi tekanan kepada diri mangsa serta mendedahkan diri mereka kepada masalah kesihatan yang lebih kronik.
Kita tidak boleh memandang ringan terhadap isu diskriminasi. Dalam mempertimbangkan cadangan ini, pihak kerajaan harus melihat hasil Tinjauan Belia Merdeka Center 2024. Berdasarkan tinjauan itu, terdapat peningkatan rasa diskriminasi dalam kalangan belia Cina dan India di negara ini.
Menurut tinjauan berkenaan, sebanyak 58 peratus responden Cina dan India merasakan komuniti mereka dilayan secara tidak adil, berbanding hanya 43 peratus tahun sebelumnya.
Tinjauan tersebut menyatakan ramai merasakan diskriminasi berpunca daripada layanan tidak adil oleh kerajaan. Tinjauan tersebut melibatkan 1,605 responden berusia 18 hingga 30 tahun, mewakili kaum Melayu, Cina, India dan kumpulan etnik lain.
Untuk rekod, perkara yang sama juga pernah dibangkitkan melalui hasil Tinjauan Keadaan Diskriminasi Malaysia 2023 yang dijalankan pihak Persatuan Pendidikan Diversiti (AOD) pada dua tahun lalu.
Menurut tinjauan yang telah dilakukan, kira–kira 64 peratus rakyat negara ini mengalami beberapa jenis diskriminasi dalam tempoh setahun sebelumnya berkaitan dengan status ekonomi, umur dan etnik.
Pengarah Eksekutif Architects of Diversity (AOD), Jason Wee berkata ketika ditanya berhubung inisiatif kerajaan dalam penyelesaian masalah diskriminasi, hanya 45 peratus responden menyatakan mereka berpuas hati, manakala 40 peratus masih tidak berpuas hati.
Dan apabila ditanya apa yang kerajaan patut lakukan untuk menyelesaikan diskriminasi, jawapan diterima termasuklah cadangan mewujudkan undang–undang berhubung perkara itu dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia.-UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










