KEZALIMAN terhadap haiwan adalah isyarat yang membimbangkan tentang masyarakat Malaysia.
Pada 20 Januari 2025, dilaporkan bahawa seorang lelaki di Ipoh memukul seekor anjing dengan tukul besi di depan rumahnya. Kejadian ini dilihat dan direkodkan oleh seorang wanita muda yang menyatakan bahawa lelaki tersebut, seorang mekanik, telah mengikat anjingnya sebelum memukulnya bertuli-tuli dengan tukul besi dan parang. Tetapi tiada satu jiran yang sanggup untuk menghentikan kezaliman ini semasa ia berlaku.
Persoalan yang timbul sambil membaca laporan ini, adakah masyarakat sudah menjadi lali dengan kezaliman terhadap haiwan dimana seorang lelaki boleh mendera anjingnya tanpa dipersoalkan atau dihentikan oleh jiran-jirannya?‘Adakah nyawa seekor haiwan seperti anjing tidak lagi bernilai? Adakah penderaan terhadap nyawa yang tidak boleh berlawan balik, sesuatu yang masyarakat Malaysia boleh menerima?
Terdapat bukti yang menunjukkan kezaliman sebegini terhadap haiwan adalah tanda-tanda berkait dengan personaliti antisosial dan psikopat. Kegagalan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap kejadian sebegini mungkin dengan segera akan membenarkan pendera untuk meningkatkan keganasannya terhadap kakak-kanak, orang tidak berupaya dan lain-lain.
Dalam kes ini, mekanik ini telah ditahan oleh polis dan anjing ini diselamatkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinari (DVS) hanya selepas pihak media melaporkan kes ini. Ini juga agak membimbangkan kerana ini menunjukkan bahawa pihak berkuasa juga hanya akan mengambil tindakan sekiranya terdapat laporan media.
Saya menulis ini kerana kerisauan tentang tabiat masyarakat Malaysia yang semakin menjadi ‘individualistik’ dan dimana kezaliman terhadap haiwan adalah sesuatu yang normal. Ini adalah satu tanda merbahaya bahawa masyarakat Malaysia semakin mundur dalam nilai-nilainya.-UTUSAN
DORA
Kuala Lumpur









