Wahai generasi muda, kuasailah teknologi secara profesional

Wahai generasi muda, kuasailah teknologi secara profesional

ANAK muda perlu melihat diri mereka bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi juga pencipta yang inovatif dan profesional.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era digital yang berkembang pesat, generasi muda perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran teknologi yang relevan dan profesional.

Dunia pekerjaan tidak lagi hanya bergantung kepada kemahiran asas seperti komunikasi dan kesungguhan, tetapi juga memerlukan keupayaan untuk menguasai teknologi canggih yang menjadi tulang belakang pelbagai industri moden.

Antara kemahiran utama yang perlu dikuasai adalah keupayaan menghasilkan grafik digital. Kemahiran ini bukan sahaja penting untuk industri kreatif seperti reka bentuk grafik, pemasaran dan media sosial, tetapi juga untuk mempersembahkan data dengan lebih menarik dan efektif dalam laporan korporat atau persembahan profesional.

Dalam sektor pembinaan, kefahaman tentang konsep Pemodelan Bangunan Bermaklumat (BIM) menjadi semakin penting. BIM bukan sahaja membolehkan pemodelan 3D yang tepat, tetapi juga menyokong pelbagai fungsi kritikal seperti anggaran kos, analisis struktur dan perancangan projek yang lebih efisien. Penguasaan teknologi ini akan memberi kelebihan besar kepada graduan dan golongan profesional muda, sekali gus membuka peluang ke arah menjadi pemimpin dalam projek berskala besar.

Selain itu, kemahiran dalam bahasa pengaturcaraan menjadi asas dalam pelbagai sektor. Bahasa pengaturcaraan ini memainkan peranan penting dalam pembangunan laman web, aplikasi mudah alih dan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data dan internet kebendaan (IoT).

Institusi pendidikan dan kerajaan perlu mengambil langkah proaktif untuk memastikan generasi muda memperoleh pendedahan awal terhadap teknologi ini. Sekolah dan universiti disaran memperkenalkan modul khusus, kursus pendek berorientasikan teknologi atau menjadikan subjek ini sebagai sebahagian daripada kurikulum wajib. Sebagai generasi yang bakal memimpin masa depan negara, anak muda perlu melihat diri mereka bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi juga pencipta yang inovatif dan profesional.

Penguasaan teknologi bukan sahaja membuka peluang kerjaya yang lebih luas tetapi juga berperanan penting dalam membantu Malaysia menjadi sebuah negara yang kompetitif di peringkat global.-UTUSAN

DR. MUHAMMAD HADI MUSTAFA
Pensyarah Kanan di Jabatan Ukur Bahan,
Fakulti Alam Bina,
Universiti Malaya (UM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN