INDEKS Pengurus Pembelian (PMI) sektor pembuatan negara pada Disember tahun lalu terus merosot kepada 48.2 mata, mencerminkan sektor pembuatan masih belum dapat mengatasi trend kelembaban, dengan pengeluaran dan pesanan baharu yang masih jelas perlahan. Dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan perlu merangka dasar yang lebih fleksibel dan berdaya tahan.
Sekiranya Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif lebih tinggi terhadap produk ASEAN, ia berpotensi memberi kesan buruk kepada industri semikonduktor dan kenderaan elektrik (EV) Malaysia. Negara mungkin berdepan risiko penarikan pelaburan asing, kejatuhan eksport dan kemerosotan industri baharu. Pemulihan ekonomi tidak boleh dicapai tanpa usaha memperluas permintaan domestik dan menstabilkan permintaan luar, terutamanya dengan kembalinya Donald Trump yang memberi tekanan kepada perusahaan kecil di Asia Tenggara.
Negara seperti Filipina (54.8), Thailand (51.4), Indonesia (51.2), dan Singapura (51.0) mencatatkan peningkatan PMI, manakala Malaysia mengalami penurunan dari 49.2 pada November kepada 48.6. Lebih membimbangkan lagi, PMI Malaysia menurun secara berterusan sejak Jun 2024.
Laporan penilaian PMI oleh S&P Global adalah penunjuk utama yang penting untuk memantau prestasi ekonomi. Secara umumnya, PMI menggunakan nilai ambang 50 peratus; lebih daripada 50 peratus mencerminkan pengembangan ekonomi, manakala kurang daripada 50 peratus mencerminkan pengecutan ekonomi. Ini merupakan penurunan terbesar PMI Malaysia sejak Mac 2024.
Data terkini menunjukkan pengeluar mengurangkan aktiviti pembelian dan mengurangkan stok bahan mentah serta barang siap bagi menghadapi penurunan pesanan baharu. Ini menunjukkan permintaan keseluruhan masih lemah dan syarikat terus mengurangkan pengeluaran secara sederhana, dengan jangkaan aktiviti sektor pembuatan kekal lesu untuk beberapa bulan akan datang.
Oleh itu, PMI mencerminkan interaksi antara pengeluaran dan penggunaan. Kerajaan perlu memberikan lebih banyak bantuan melalui dasar-dasar untuk memperkembangkan pengeluaran yang baik kepada kumpulan pengguna. Ini dapat mendorong pengeluaran dan penggunaan saling memacu serta memperkukuhkan antara satu sama lain.
Dasar-dasar baharu seperti gaji minimum dan kewajipan untuk mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing bukan sahaja meningkatkan kos sektor pembuatan, tetapi juga memberi kesan kepada pertumbuhan mereka. Jika kerajaan menaikkan tarif elektrik pada separuh kedua tahun ini, bagaimana Malaysia dapat mengekalkan daya saing di peringkat antarabangsa dan menarik pelabur asing?-UTUSAN
DATUK DR. DOMINIC LAU HOE CHAI
Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN)









