TRAGEDI tsunami pada 26 Disember 2004 adalah tsunami paling dahsyat di abad ke-21 yang melanda pantai sekitar Lautan Hindi melibatkan angka kematian sekitar 275,000 orang termasuk yang dilaporkan hilang.
Sebanyak 14 negara yang terjejas termasuklah Indonesia, Malaysia, Thailand dan Somalia. Tahun ini telah merakam peristiwa dua dekad yang berlaku hasil gegaran gempa bumi dasar laut sekuat 9.1 skala Richter sehingga mencetus ombak besar setinggi 30 meter di pantai sekitar Lautan Hindi.
Biarpun Tsunami secara teknikalnya bukan termasuk dalam bencana perubahan iklim, namun perubahan iklim boleh mempengaruhi aspek yang berkaitan dengan tsunami seperti kenaikan paras laut akibat pemanasan global boleh memberi kesan kepada pantai dan kawasan rendah sehingga lebih terdedah kepada kesan bencana alam termasuk tsunami.
Justeru, pembuat polisi haruslah mengambil iktibar dengan tragedi yang menimpa 14 negara termasuklah negara kita.
Kerajaan perlu mengintegrasikan isu perubahan iklim dalam pelan pengurusan risiko tsunami dalam penyelarasan polisi dan undang-undang. Ini termasuklah memastikan pengurusan zon pesisir yang terdedah kepada kedua-dua fenomena ini.
Program kesedaran awam dan pendidikan harus diberikan tumpuan tentang risiko tsunami dan perubahan iklim. Ini bagi memastikan komuniti sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi kedua-dua bencana.
Di samping itu, kerjasama di peringkat antarabangsa yang melibatkan kerangka perundangan dan polisi kepada mana-mana negara yang terdedah kepada bencana tsunami dan perubahan iklim boleh mendorong kepada tindakan bersama antara negara dalam mengurangkan impak bencana dan tragedi tersebut.
Penggubalan undang-undang yang komprehensif dan pelaksanaan yang berkesan adalah kunci dalam menangani ancaman bencana ini.-UTUSAN
DR. MUHAMMAD HAFIZ BADARULZAMAN
Pensyarah Kanan,
Pusat Pengajian Undang-Undang
Universiti Utara Malaysia (UUM)









