BARU-BARU ini semasa Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara (KSN) 2025 sekali lagi menekankan reformasi yang perlu dilakukan oleh penjawat awam dalam memastikan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam mudah dan pantas dicapai.
Tujahan ‘Reformasi Itu Satu Kemestian’ bukan sekadar slogan tetapi hadir sebagai sebuah amanah yang besar kepada semua penjawat awam apatah lagi dalam membawa tiga fokus utama iaitu Memantapkan Pemboleh Daya Reformasi, Memperkukuh Nilai dan Tatakelola serta Mempertingkatkan Sinergi. Kesemua fokus ini yang memerlukan reformasi perlu seiring dengan kompetensi yang telah dijajarkan kepada setiap organisasi bagi memastikan nilai kompetensi dan indikator perilaku terbukti dengan tahap pencapaian terbaik oleh setiap penjawat awam.
Malah kaedah penilaian prestasi melalui MyPerformance turut menggariskan nilai nilai kompetensi yang perlu dicapai pada tahap tertentu dalam memastikan ia dimetai kepada setiap individu memenuhi tahap diperlukan.
Sebagai contoh, bagi memantapkan fokus pemboleh daya reformasi, selain kompetensi pemikiran strategik dan mengetuai perubahan, kompetensi kecekapan digital dan pembangunan kapasiti sumber manusia juga perlu dijajari bersama bagi mencapai fokus tersebut. Penjajaran ini akan bermula apabila kita memetai tahap kompetensi terlebih dahulu, seterusnya membuat penilaian awal (kendiri) dan 360, diteruskan dengan latihan dan pembangunan berdasarkan jurang kompetensi yang diperoleh, akhirnya dapat melahirkan penjawat awam yang kompeten.
Usaha membentuk penjawat awam membangunkan diri berasaskan kompetensi ini bukanlah perkara baharu. Dalam mana-mana forum dan pentas sumber manusia acapkali disinergikan dengan strategi memperkasakan sektor sumber manusia.
Tambahan pula kompetensi ini melibatkan indikator perilaku mesti boleh dilihat, diukur dan dilatih yang akhirnya memastikan pencapaian misi dan visi organisasi dicapai dengan mudah. Dalam konteks sama apabila Ketua Setiausaha Negara menyarankan agar kakitangan berkhidmat wajar di pusing tugas mereka lima tahun sekali, ini juga adalah nilai kompetensi yang turut ditekankan.
Apabila seseorang hanya bertugas dalam satu skop sahaja, bermakna mereka hanya memiliki satu atau dua kompetensi sahaja. Walhal dalam tempoh 30 tahun perkhidmatan, kita memerlukan penjawat awam yang memiliki kompetensi yang banyak kerana melibatkan ilmu, kemahiran dan keupayaan seseorang dalam melaksanakan tugas.
Rasionalnya dalam tempoh tersebut, seseorang individu akan memiliki lapan ke 10 kompetensi jika ia berjaya dilaksanakan.-UTUSAN
RAJA SHAH ERMAN RAJA ARIFIN
Timbalan Pendaftar Bahagian Sumber Manusia,
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)









