Menjaga agama bermula dari mana?

Menjaga agama bermula dari mana?

PENJAGAAN agama merangkumi dua dimensi utama iaitu melalui pelaksanaan amalan agama dan bertujuan melindungi agama daripada ancaman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AGAMA berperanan penting dalam membentuk nilai, etika dan undang-undang yang menjadi kerangka kehidupan. Dalam Islam, penjagaan agama atau hifz ad-din merupakan salah satu daripada lima maqasid syariah yang bertujuan untuk memastikan kesejahteraan manusia dengan melindungi agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Penjagaan agama merangkumi dua dimensi utama: al-wujud (suruhan) melalui pelaksanaan amalan agama dan al-‘adam (larangan) bertujuan melindungi agama daripada ancaman.

Dalam konteks ini, penjagaan agama dapat dibandingkan antara dua peringkat utama: peringkat individu dan peringkat masyarakat secara kolektif.

Pelaksanaan ibadah wajib seperti solat, puasa, zakat dan haji adalah asas utama penjagaan agama. Justeru, semua ini terkandung dalam rukun Islam yang lima.

Begitu juga halnya jika dilihat maqasid atau tujuan ibadah yang lain seperti zakat, haji, sedekah, zikir dan ibadah-ibadah khusus yang lain.

Akidah yang sahih perlu dipertahankan dan diperbaharui dengan usaha menjauhi syirik, bidaah serta fahaman yang bercanggah dengan Islam.

Kefahaman yang benar tentang Islam amatlah penting demi memelihara diri daripada penyelewengan agama. Dalam hal ini, umat Islam mestilah berhati-hati daripada terjebak dengan gejala ghuluw (melampaui batas) yang berpunca daripada kefahaman yang tidak tepat tentang agama dan Allah.

Dengan memahami prinsip ijtihad dan perbezaan pandangan, umat Islam dapat bersikap lebih terbuka dan saling menghormati. Hal ini penting dalam menjaga perpaduan masyarakat serta memelihara imej Islam sebagai agama rahmat untuk seluruh alam.

Sikap sederhana yang lahir daripada kefahaman yang benar akan menjadikan umat Islam lebih inklusif, mencerminkan nilai Islam yang sebenar dan menyumbang kepada keharmonian sosial. Tanpa kefahaman ini, umat Islam berisiko terperangkap dalam sikap melampau yang boleh memberi kesan buruk kepada agama dan masyarakat.

Akhlak dan adab menjadi peribadi dan imej seorang Muslim. Adab yang baik perlu diterapkan melalui kata-kata, tingkah laku dan perbuatan, malah hati juga mempunyai adabnya.

Lantaran itu, manusia dianugerahkan akal yang boleh digunakan untuk memilih adab dan akhlak yang baik untuk diamalkan. 

Pada peringkat sosial dan negara, penjagaan agama memerlukan usaha kolektif melalui institusi, dasar dan pelaksanaan undang-undang untuk melindungi agama secara menyeluruh. 

Agama dilihat sebagai satu institusi yang mempunyai haknya iaitu dipelihara, dipertahankan dan diberikan pengiktirafan yang selayaknya.

Sebagai sebuah negara yang berdaulat, undang-undang memainkan peranan penting untuk menyusun atur, mengawal dan menguatkuasakan peraturan yang memangkin agama dalam negara.

Setiap daripada kita memerlukan agama. Agama yang benar ialah Islam semata-mata. Menjaga agama adalah tugas semua. Maka mulakanlah dengan diri sendiri iaitu dengan memupuk takwa yang kuat sehingga melahirkan rasa izzah dan cinta terhadap agama itu sendiri.

Agama yang kita cintai ini perlu dipelihara dengan penuh hormat. Sekiranya kita mahu kaum lain menghormati agama, budaya, bahasa dan adat kita, kita juga perlu menghormati agama, budaya, bahasa serta adat kaum lain.

Selain itu, kita juga perlu peka dalam menjaga sensitiviti bersama, bak kata pepatah Melayu, ‘serumpun bak serai, sesusun bak sirih’.-UTUSAN

 

DR. HAMIDAH MAT

Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

Open University Malaysia (OUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×