Mencorak subsidi bersasar dengan lebih lestari

Mencorak subsidi bersasar dengan lebih lestari

SUBSIDI bersasar juga perlu menjadi pemangkin kepada ekonomi tempatan terutamanya kepada yang mempunyai majoriti penerima.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam menghadapi cabaran ekonomi yang semakin kompleks, subsidi bersasar tetap menjadi instrumen penting untuk memastikan kesejahteraan rakyat.

Tekanan global seperti peningkatan inflasi dan gangguan rantaian bekalan menyerlahkan kepentingan pendekatan berpandangan lebih ke hadapan. Kedudukan strategik Malaysia di rantau Asia Tenggara memberikan peluang unik untuk menyelaraskan subsidi dengan matlamat pembangunan negara. Subsidi yang tidak direka dengan baik bukan sahaja boleh menyebabkan pembaziran tetapi juga menghambat potensi pertumbuhan ekonomi negara.

Walaupun data pendapatan kekal menjadi asas penentuan bagi pengagihan subsidi, kini jelas rangka kerja yang lebih komprehensif diperlukan dalam segmen metrik kesihatan, akses terkini dan amalan mesra alam.

Selain daripada itu, Malaysia juga boleh belajar daripada pendekatan subsidi inovatif yang diamalkan di negara-negara jiran. Contohnya Program Petani Pintar Thailand yang menyediakan bantuan kewangan dan teknikal kepada petani untuk mengguna pakai teknologi pintar dalam amalan pertanian, sekali gus meningkatkan produktiviti dan daya tahan terhadap perubahan iklim.

Begitu juga Subsidi Pengangkutan Hijau Vietnam yang memberikan insentif kepada pengguna kenderaan elektrik, berjaya mengurangkan pencemaran dan memperkasa industri kenderaan elektrik (EV) tempatan.

Kejayaan ini membuktikan subsidi bukan sekadar bantuan kewangan tetapi juga instrumen strategik untuk mendorong perubahan struktur yang positif seperti pengurangan import untuk makanan utama negara yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada negara-negara lain.

Dalam masa sama, kemajuan teknologi menawarkan peluang besar untuk meningkatkan kecekapan subsidi seperti kecerdasan buatan (AI), blockchain dan data geospatial yang dapat membantu memetakan keperluan di kawasan tertentu bagi memastikan subsidi disasarkan kepada komuniti yang benar-benar memerlukan.

Seterusnya, subsidi bersasar juga perlu menjadi pemangkin kepada ekonomi tempatan terutamanya yang majoriti penerimanya. Dengan sokongan langsung kepada petani kecil, nelayan dan perusahaan mikro, kerajaan dapat meningkatkan pendapatan di kawasan luar bandar. Sebagai contoh, subsidi untuk peralatan pertanian atau insentif kepada koperasi tempatan dapat memacu pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut.-UTUSAN

DR. HASROLEFFENDY HASSAN
Pensyarah Kanan Kewangan
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN