SISTEM pendidikan negara mengalami perubahan besar selepas tiada lagi peperiksaan besar di sekolah rendah. Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan tekanan akademik dan membolehkan pembelajaran yang lebih fleksibel.
Tanpa asas kukuh, pelajar menghadapi cabaran besar apabila beralih ke peringkat menengah, terutamanya dalam memahami konsep yang lebih kompleks seperti algebra dan geometri. Hal ini menimbulkan persoalan penting, adakah sistem pendidikan kita benar-benar membantu pelajar menguasai matematik atau menyebabkan mereka kehilangan asas yang penting?
Sebagai perbandingan, negara-negara maju seperti Singapura, Finland, Jepun dan Korea Selatan mempunyai sistem pendidikan matematik yang berkesan. Singapura, misalnya, terkenal dengan pendekatan ‘Singapore Math’, yang menekankan pemahaman konsep mendalam dan penyelesaian masalah secara visual. Walaupun mereka mengurangkan elemen hafalan, ujian berkala masih menjadi sebahagian daripada sistem bagi memastikan pelajar memahami setiap konsep sebelum beralih ke tahap lebih tinggi.
Di Finland, sistem pendidikan memberi kebebasan dengan pendekatan pembelajaran yang lebih santai. Walaupun tidak mempunyai peperiksaan besar sehingga peringkat menengah atas, guru-guru tetap menjalankan ujian formatif dan pemantauan yang rapi bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan.
Jepun dan Korea Selatan pula menekankan disiplin dalam pembelajaran matematik. Pelajar dilatih dengan latihan berulang, pengiraan mental serta penyelesaian masalah kompleks sejak usia muda. Ujian berkala tetap menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan untuk memastikan pelajar menguasai konsep matematik dengan baik sebelum melangkah ke peringkat seterusnya.
Jika dibandingkan dengan Malaysia, jelas negara-negara maju ini mengekalkan penilaian berkala dalam sistem pendidikan. Walaupun menggalakkan pembelajaran yang menyeronokkan, mereka tidak mengabaikan keperluan ujian sebagai alat untuk menilai keberkesanan pengajaran.
Di Malaysia, penghapusan peperiksaan besar tanpa menggantikan dengan sistem penilaian yang jelas menyebabkan ramai pelajar tercicir dalam penguasaan matematik. Tanpa pemantauan yang rapi, guru sukar mengesan kelemahan pelajar dan akhirnya melangkah ke peringkat menengah tanpa asas yang kukuh.
Justeru, kerajaan dan pihak berkepentingan perlu mempertimbangkan semula pendekatan terbaik dalam menilai penguasaan matematik. Ini bukan bermaksud peperiksaan besar perlu dikembalikan sepenuhnya, tetapi satu sistem penilaian yang lebih berstruktur seperti ujian diagnostik atau projek penyelesaian masalah perlu diperkenalkan.
Matematik adalah asas kepada banyak bidang profesional seperti kejuruteraan, teknologi dan sains. Jika Malaysia ingin melahirkan generasi yang berdaya saing, kita perlu memastikan setiap pelajar mendapat asas matematik yang kukuh. Pembelajaran tanpa penilaian yang jelas bukanlah penyelesaian terbaik untuk meningkatkan mutu pendidikan negara.-UTUSAN
MDM LYEZA
Parit Sulong, Batu Pahat










