Kuatkuasa larangan merokok di semua bangunan tempat kerja

Kuatkuasa larangan merokok di semua bangunan tempat kerja

LARANGAN merokok bukan sahaja bagi melindungi kesihatan pekerja tetapi menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan masyarakat dan generasi akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GABUNGAN Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyokong sepenuhnya penguatkuasaan larangan merokok di semua bangunan tempat kerja di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP) melalui Kod Amalan Kualiti Udara Dalaman 2010. Larangan ini juga dikuatkuasakan selaras dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 853) dan Perintah Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Pengisytiharan Kawasan atau Tempat Larangan Merokok) 2024.

Matlamat larangan ini bagi melindungi semua pihak daripada bahaya asap tembakau. Seramai 27,000 orang maut setiap tahun akibat penyakit yang berpunca daripada pendedahan asap tembakau termasuk asap rokok sekunder.

Bahkan, usaha ini membantu mengurangkan kadar merokok ke arah mendorong mereka untuk berhenti tabiat berkenaan.

Selain itu, ia juga bagi melindungi kanak-kanak. Ini kerana mereka memerhatikan orang dewasa merokok sejak bayi lalu terpengaruh dengan tabiat kurang sihat di khalayak awam.

Dalam masa sama, orang awam perlu mematuhi etika merokok termasuk tidak mengajak sesiapapun, walaupun perokok, kerana mungkin mereka sedang berusaha untuk berhenti merokok.

Begitu juga, patuhilah arahan dengan tidak merokok di tempat-tempat yang dilarang dan di hadapan kanak-kanak.

Tindakan Undang-Undang terhadap larangan merokok sejak pelaksanaan Kod Amalan Kualiti Udara Dalaman 2010 dan penguatkuasaan Akta 853, terdapat beberapa pihak telah mencabar perluasan larangan merokok di bangunan tempat kerja atas pelbagai alasan, termasuk kebimbangan tentang hak peribadi serta implikasi ekonomi.

Walau bagaimanapun, mahkamah menegaskan kepentingan kesihatan awam adalah keutamaan utama.

FOMCA menyeru semua pihak untuk menghormati keputusan undang-undang ini demi melindungi keselamatan dan kesihatan masyarakat secara keseluruhan.

Umum perlu memahami mengapa larangan merokok di tempat kerja diwujudkan. Antaranya bagi melindungi kesihatan pekerja. Usaha ini dapat menghapuskan pendedahan kepada asap rokok basi yang boleh menyebabkan masalah kesihatan akut dan kronik.

Ia juga dapat meningkatkan produktiviti. Apabila kurang atau tiada asap rokok, pastinya dapat mengurangkan ketidakhadiran ke pejabat akibat penyakit yang berkaitan masalah ini.

Dalam masa sama dapat menurunkan kos. Ini kerana dapat menjimatkan kos penyelenggaraan bangunan dan rawatan kesihatan.

Yang penting, ia juga menyokong persekitaran kerja sihat apabila mesej jelas diberikan tentang komitmen terhadap kesejahteraan pekerja.

Oleh itu, semua majikan diwajibkan untuk memastikan bangunan tempat kerja bebas asap rokok sepenuhnya.

Pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa akan ditingkatkan untuk memastikan pematuhan terhadap larangan ini.

Penggunaan papan tanda larangan merokok yang jelas harus diletakkan di semua bangunan tempat kerja sebagai peringatan.

FOMCA memperingatkan agar pekerja mematuhi larangan dengan hanya merokok di kawasan yang ditetapkan di luar bangunan.

Usaha mendidik dan menyedarkan perlu terus diadakan agar orang ramai mengetahui tentang bahaya asap rokok basi.

Dalam masa sama, pihak terlibat perlu mengambil tindakan tegas terhadap pelanggaran peraturan larangan merokok.

Inisiatif ini bukan sahaja melindungi kesihatan pekerja tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan masyarakat dan generasi akan datang dengan mewujudkan persekitaran yang lebih sihat serta mengurangkan beban penyakit yang berkaitan dengan asap rokok.-UTUSAN

MUHAMMAD SHA’ANI ABDULLAH
Penyelaras Kawalan Tembakau / Inisiatif @SmokeFreeMY, Gabungan Persatuan-persatuan
Pengguna Malaysia (FOMCA)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN