PERMULAAN baik yang ditunjukkan oleh barisan skuad Harimau Malaya semasa di bawah kendalian Kim Pan Gon hampir-hampir sahaja menuju ke puncak kejayaan. Segalanya kini kembali semula menjadi tidak menentu.
Sikap acuh tidak acuh yang ditunjukkan oleh pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memastikan Harimau Malaya dapat terbang tinggi rupa-rupanya tinggal impian dan harapan palsu.
FAM akan melakukan revolusi dengan menstrukturkan barisan kejurulatihan yang baharu namun malangnya pihak berkenaan tetap tega dan tidak mahu akur dengan kehendak Kelab Penyokong Harimau Malaya serta peminat yang mahukan barisan anggota lembaga FAM dirombak secara besar-besaran, bukannya melantik ketua jurulatih baharu.
Pada pengamatan saya, melantik ketua jurulatih daripada Australia yang sama sekali tidak cocok dengan asid deoksiribonukleik (DNA) Harimau Malaya. Sepatutnya FAM meneruskan mengambil ketua jurulatih dari negara asia seperti Jepun atau Korea Selatan. Buktinya Pau Marti dan lain-lainnya ternyata gagal untuk menyesuaikan diri dengan DNA Harimau Malaya yang ditinggalkan Pan Gon.
Skuad Harimau Malaya selepas ketiadaan sentuhan magis Pan Gon ternyata mengecewakan malah tidak berjaya untuk membawa pulang kejayaan pada kali ini selepas tersingkir daripada persaingan Piala ASEAN. Pemain walaupun mencipta peluang namun masih lagi tumpul untuk menyudahkan di depan gol lawan.
Paling dikesali apabila terdapat antara tidak menunjukkan semangat patriotik yang tinggi sebaliknya mereka lebih mengutamakan kelab berbanding membantu skuad bola sepak kebangsaan sama ada di pentas asia tenggara atau asia.-UTUSAN
PEMINAT TEGAR KIM PAN GON
Pulau Pinang









