MENGAMBIL ilham nama sempena pantulan jernih tasik yang menyerupai cermin, Tasik Cermin yang turut dikenali sebagai salah satu permata tersembunyi di Ipoh menerima pengiktirafan sebagai Anugerah Destinasi Pelancongan Mesra Muslim oleh Pusat Pelancongan Islam (ITC) dan Anugerah Inisiatif Pelancongan Boleh Akses Terbaik sempena Anugerah Pelancongan Perak 2024 baru–baru ini.
Anugerah ini turut memberi impak kepada industri pelancongan mesra muslim di Malaysia selari dengan pencapaian Malaysia yang kekal mengungguli senarai Destinasi Mesra Muslim Terbaik dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2024 dan penganugerahan Malaysia sebagai Destinasi Mesra Muslim Terbaik, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk tahun kedua berturut-turut.
Kejayaan ini menunjukkan kesungguhan Majuperak Holdings Berhad (MHB) bersama rakan strategik, STG World Sdn Bhd (STG) dalam menjadikan Perak sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia yang inklusif dan mesra kepada pelancong dari pelbagai latar belakang agama, bangsa dan warganegara.
Bayangkan, hanya dua jam perjalanan dari ibu negara, rakyat dapat menikmati keindahan warisan geologi di Lembah Kinta yang bukan sahaja mempunyai nilai estetik yang tinggi, tetapi juga mempunyai nilai sejarah. Suatu masa dahulu, inilah antara penyumbang utama ekonomi negara dalam perlombongan dan industri timah dan kini telah dibangunkan sebagai pusat pelancongan yang turut menyumbang kepada ekonomi negeri dan Malaysia secara keseluruhannya.
Destinasi geo pelancongan Tasik Cermin ini mempunyai tiga tarikan gua utama iaitu Tasik Cermin 1, Tasik Cermin 2 dan Gua Mulut Ular. Sejak beroperasi pada 2022, akses dan kemudahan yang selesa disediakan kepada pengunjung dengan laluan jalan masuk berturap, parkir yang mencukupi, tandas, surau, menambah baik kemudahan dan perkhidmatan dari masa ke semasa.
Pihak operator juga turut memastikan persekitaran dijaga memandangkan lokasi ini berusia sekitar 250 juta hingga 480 juta tahun yang diwartakan sebagai antara destinasi dalam Geopark Lembah Kinta.
Kerajaan Negeri Perak melalui aspirasi Perak Sejahtera 2030 turut giat membangunkan pelbagai inisiatif pelancongan termasuklah geopark di bawah Ekonomi Pengalaman. Justeru itu, MHB terus komited dalam melaksanakan inisiatif pembangunan hijau dan ekopelancongan khususnya dalam pengurusan geopark di bawah inisiatif Pengurusan Aset dan Kemudahan MHB.
Pihak STG bekerjasama erat daripada pihak MHB untuk terus menggiatkan usaha mempromosikan Tasik Cermin dengan menawarkan pakej-pakej yang bersesuaian mengikut pelbagai peringkat umur dan menambah lebih banyak aktiviti luar dan program–program yang menarik di sepanjang 2025 seperti ATV, Fiesta Makanan Perak, Hari Geologi Sedunia, Larian Tasik Cermin dan sebagainya untuk dinikmati pengunjung.
Tasik Cermin menarik lebih daripada 500,000 pelawat setakat Disember 2024. Pada 2025, destinasi ini menyasarkan satu juta pengunjung, yang dijangka menyumbang secara signifikan kepada pembangunan komuniti tempatan dan ekonomi negeri.
Sempena musim cuti sekolah yang akan bermula pada 17 Januari hingga 15 Februari ini, dijemput semua rakyat Malaysia untuk hadir ke Tasik Cermin bagi menikmati pengalaman yang menarik serta menikmati pelbagai aktiviti menarik yang kami sediakan di sini. Adalah menjadi harapan kami untuk mencapai sasaran satu juta pelancong menjelang akhir tahun 2025 nanti.-UTUSAN
INTAN TANTIYANA PUTERI JAAFAR dan MOHD KHALID KA’AB
Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Majuperak Holdings Berhad (MHB)










