WARGA Perak khususnya orang Ipoh pasti berbangga apabila majalah gaya hidup, Time Out menyenaraikan Ipoh sebagai salah satu lokasi bandar terbaik yang perlu dilawati di Asia menjelang 2025. Satu pengiktirafan membanggakan apabila Ipoh tersenarai di tangga kelima selepas Sumba (Indonesia), Siargao (Filipina), Da Nang (Vietnam) dan Tainan, (Taiwan).
Antara daya tarikan Ipoh ialah lokasinya di tengah-tengah Lembah Kinta, dikelilingi bukit batu kapur yang kaya dengan stalaktit dan stalagmit, seni bina kolonial serta hab makanan tempatan. Dari aspek perhubungan pula, Ipoh menjadi lokasi transit kerana terletak di antara Kuala Lumpur dan George Town selain gerbang utama ke Cameron Highland. Tidak terkecuali mereka yang dalam perjalanan ke Pantai Timur atau ke Lumut turut singgah di Ipoh.
Potensi pelancongan Ipoh terus berkembang pesat setelah dinaiktaraf kepada bandar raya pada 1988. Usaha Majlis Bandar Raya Ipoh( MBI) menjadikan Ipoh sebagai bandar pelancongan warisan dan rendah karbon serta pengenalan konsep 3H (kesihatan, warisan, hipster) adalah langkah bijak untuk menarik kehadiran ramai pelancong. Selain itu, MBI yang mempunyai jaringan bandar raya berkembar seperti Fukuoka (Jepun), Guangzhou (China) dan Medan (Indonesia) memberi banyak manfaat kepada industri pelancongan di Perak.
Kehadiran lebih 8.4 juta pelancong sempena Tahun Melawat Perak 2024 dan Ipoh menjadi destinasi utama membuktikan aspek warisan yang terkandung dalam Model Ekonomi Donat Ipoh semakin menampakan keberkesanannya. Demi memastikan Ipoh kekal sebagai pilihan pelancong aspek fasiliti dan kreativiti daya tarikan perlu diberi keutamaan. Hal ini penting agar Ipoh tidak sekadar bandar persinggahan sebaliknya menjadi ‘rumah inap’ pelancong. Ipoh yang sarat dengan budaya dan warisan masyarakat majmuk perlu diketengahkan sebagai produk pelancongan bandar seperti seni bina, makanan, pakaian dan kesenian.
Usaha Majlis Bandar Raya Ipoh mengidentitikan 40 buah kampung tradisi Melayu, 20 buah Kampung Baru, dan 55 buah Kampung Tersusun adalah sangat wajar dan bertepatan dengan Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara (DPF Desa Negara) 2030 dan Rancangan Struktur Negeri Perak 2040. Pendek kata, walaupun berdepan cabaran asakan pembangunan, Ipoh perlu kekal unik dengan produk yang berkonsepkan pembangunan pelancongan bandar, warisan, makanan dan taman tema.
Selain itu, dalam usaha menarik pelancong, Ipoh turut mendapat manfaat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menyediakan memperuntukan RM15 juta untuk Pasar Besar Ipoh dan RM16 juta untuk Pasar Pinji bagi tujuan menaiktaraf kedua-dua pasar tersebut.
Di samping itu, melalui Belanjawan 2025 Kerajaan Negeri Perak juga memperuntukan RM11.31 juta bagi memastikan pelbagai projek pembangunan pelancongan dan kebudayaan negeri berjalan lancar dan berada dalam keadaan sempurna. Ibarat peribahasa, ‘dapat sama laba, cicir sama rugi’. Semua pihak khususnya warga Perak perlu berperanan sebagai duta pelancongan Moh ke Perak menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.-UTUSAN
IBRAHIM AHMAD
Ketua Pusat Kajian Warisan dan Sejarah
UniKL Royal College of Medicine Perak, Ipoh









