ALIRAN kenderaan terlalu banyak sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina memerlukan semua pihak lebih berhati-hati semasa berada di atas jalan raya.
Pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan aliran trafik meningkat di lebuh raya utama dari ibu kota menghala keluar ke utara, timur dan selatan bermula 24 hingga 28 Januari 2025 sempena cuti perayaan tersebut yang disambut pada 29 Januari.
Susulan peningkatan tersebut, sebanyak 2.6 juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya Utara Selatan.
Ini tidak termasuk 198,000 di Lebuhraya KL Karak, 82,000 di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1, 48,000 di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 dan 120,000 di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).
Aliran trafik kembali ke kota pula akan menunjukkan peningkatan bermula 1 hingga 2 Februari.
Ini merupakan jumlah kenderaan yang banyak dan memerlukan setiap pemandu sentiasa lebih berhati-hati semasa memandu.
Paling penting hendaklah berhenti jika berasa mengantuk. Apabila terasa segar, barulah meneruskan perjalanan.
Dengan bilangan kenderaan yang banyak, sudah tentu jumlah pengguna juga ramai. Ini akan menyebabkan tempat persinggahan dan makan minum di hentian rehat dan rawat (R&R ) menjadi sesak.
Dengan sebab demikian, penting bagi setiap pengguna lebuh raya membawa banyak bekalan makanan dan minuman bagi mengelak kelaparan dan dahaga sebelum sampai destinasi dituju.
Kenderaan pula hendaklah dipastikan semuanya berada dalam keadaan yang baik.
Biarlah percutian diisi dengan penuh kegembiraan, bukan sebaliknya.-UTUSAN
RAMLI ISMAIL,
Kangar, Perlis









