SAYA amat kagum dengan kualiti kerja yang ditunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke arah membangunkan negara dengan menarik sebanyak mungkin pelabur di seluruh dunia ke negara ini.
Apa yang diusahakannya adalah untuk melihat Malaysia mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain yang sudah berjaya.
Tanpa mengenal penat lelah, Anwar terbang ke seluruh pelosok dan penjuru dunia untuk mencari rakan yang boleh membantu negara ini menikmati perkembangan ekonomi yang diharapkan.
Dari timur ke barat perdana menteri pergi untuk memenuhi hasrat yang suci itu. Amat membanggakan setiap kunjungan beliau disambut dengan penuh penghormatan oleh para pemimpin negara-negara yang dikunjungi.
Negara terbaru yang dikunjungi Anwar ialah Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas jemputan rakan sejawat dari negara berkenaan, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan bagi menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi.
Apa yang ingin saya nyatakan adalah kesungguhan kerja yang dilakukan perdana menteri disebalik pelbagai kata-kata negatif yang dilontarkan oleh pihak-pihak tertentu kepadanya tidak sama sekali melemahkan semangatnya.
Saya bukan berhasrat untuk mengampu Anwar tetapi mengharapkan agar tiada lagi kata-kata negatif kepada perdana menteri supaya tidak mengganggu fikirannya untuk bekerja dan berkhidmat kepada negara dan rakyat.
Bagi saya biarlah beliau melaksanakan tanggungjawabnya hingga berakhir penggal kerana tempohnya sudah tidak lama sahaja lagi.
Selepas itu terserahlah kepada rakyat untuk memilih siapa dan parti politik mana bagi menerajui kepimpinan negara.
Semoga Anwar akan terus tabah menghadapi segala cabaran dan dugaan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai perdana menteri semata-mata atas niat yang ikhlas dan hasrat yang suci.-UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis










