KOLEJ Komunti Sabak Bernam (KKSB) julung kalinya menyambut kedatangan rakan kolaborasi dari sebuah sekolah menengah di Yeosu dari Daerah Korea Selatan. Program kerjasama ini merupakan inisiatif KKSB dalam memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) sejajar dengan gagasan membina jenama institusi ini di peringkat antarangsa.
Melalui program ini, empat unit pengajian yang ditawarkan di KKSB mengambil peluang untuk memperkenalkan kaedah pendidikan yang diketengahkan kepada para pelajar dan komuniti tempatan, ia juga memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pengalaman, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang berkaitan.
Perkongsian dan demonstrasi setiap unit dibuat melalui Program Eksplorasi TVET KKSB selepas Sesi Menandatangani Dokumen Kolaborasi (Surat Hasrat) dengan melawat setiap fasiliti unit; Makmal Pemprosesan Makanan, Makmal Bakeri, Bengkel Elektrik, Studio Building Information Modelling (BIM) bagi Program Diploma Teknologi Senibina. Eksplorasi ini turut dimeriahkan lagi dengan demonstrasi mencanting dan mewarna batik yang dikelolakan oleh Unit Fesyen dan Pakaian KKSB. Lebih membanggakan, delegasi ini berhajat untuk membawa pulang kuah kacang sate ke Korea setelah menikmatinya ketika melawat fasiliti Makmal Sedia KKSB.
Dengan kemudahan mesin retort yang sedia ada di sini, pensyarah dari Unit Teknologi Pemprosesan Makanan lantas mempersiapkan dan membungkus kuah kacang dengan mengaplikasikan kaedah retort ini sekaligus menerangkan cara penggunaan mesin dan tempoh yang diperlukan.
Bahagian Koordinasi TVET, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) sendiri memandang serius Agenda Pembaharuan Kritikal dalam Hala Tuju Transformasi Politeknik 2023-2030, CRA 4 iaitu membina jenama politeknik di peringkat antarabangsa.
Justeru, program ini memberi hala tuju dan impak kepada imej dan keterlihatan POLYCC seluruh Malaysia sebagai penyedia TVET utama negara. – UTUSAN
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Kolej Komuniti Sabak Bernam










