GURU memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan seseorang pelajar, terutamanya semasa menghadapi peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Cabaran utama dihadapi oleh guru adalah memastikan pelajar memahami topik yang diajar. Guru juga perlu menangani pelbagai perangai pelajar. Ada rakan sekelas saya yang kerap ponteng atau tidak menyiapkan kerja rumah. Guru tidak pernah berputus asa, sebaliknya terus mencari pendekatan yang sesuai untuk membantu pelajar tersebut.
Guru juga perlu berdepan tekanan pihak sekolah, ibu bapa, dan masyarakat. Guru sering menjadi sasaran apabila keputusan pelajar tidak mencapai sasaran. Namun, mereka tetap menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.
Saya teringat bagaimana guru-guru sering mengadakan perbincangan dengan ibu bapa untuk memaklumkan perkembangan kami. Komunikasi ini penting untuk memastikan semua pihak dapat bekerjasama demi kebaikan pelajar.
Semasa minggu peperiksaan, usaha guru semakin ketara. Mereka akan berada di sekolah lebih awal untuk memberi tunjuk ajar dan menjawab soalan kami. Saya masih ingat bagaimana guru Sejarah kami membantu kami mengingat fakta penting dengan menyanyikan lagu yang direka khas. Teknik ini memudahkan kami mengingati maklumat yang diperlukan semasa menjawab soalan peperiksaan.
Pengalaman saya sebagai bakal calon SPM tidak akan lengkap tanpa menyebut pengorbanan guru kelas yang bukan sahaja menguruskan hal akademik, tetapi juga memastikan pelajar tenang menghadapi peperiksaan. Setiap pagi sebelum peperiksaan bermula, guru akan mendoakan kejayaan kami. Perhatian dan kasih sayang yang ditunjukkan membuatkan kami menghargai usaha beliau.
Walaupun tugas guru mencabar, mereka sentiasa menunjukkan ketabahan dan keikhlasan dalam menjalankan tanggungjawab. Guru memahami bahawa kejayaan pelajar adalah cerminan usaha mereka. Guru-guru sentiasa mengingatkan bahawa kecemerlangan bukan hanya diukur melalui gred, tetapi juga melalui nilai-nilai murni yang diterapkan dalam diri pelajar.
Kini, sebagai seorang pelajar yang hampir menamatkan persekolahan, saya menyedari betapa besarnya pengorbanan guru. Tanpa mereka, mungkin saya tidak dapat berada di landasan yang betul untuk mencapai cita-cita. Mereka memberikan asas yang kukuh untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, saya sangat menghormati dan menghargai semua guru yang pernah mendidik saya. – UTUSAN
MOHD. SYAZNI SAAD dan MOHD. DIHYAUDDIN MOHD. RASID
Sekolah Menengah Agama Darul Makmur Ganchong
Pekan, Pahang










