KERAJAAN Negeri Johor diseru untuk meningkatkan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas di lokasi-lokasi pelancongan utama menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
Banyak aduan diterima daripada orang awam, terutamanya dari komuniti setempat dan pelancong mengenai kekurangan kemudahan mesra OKU dan warga emas di kawasan pelancongan ini.
Sebagai contoh, di Air Terjun Bekok, tiada kemudahan khas untuk OKU manakala laluan ke Air Terjun Gunung Ledang tidak lengkap dan kurang selamat. Ruang di kaunter tiket pula terlalu sempit sehingga menyukarkan pergerakan individu yang menggunakan kerusi roda.
Beberapa lokasi lain juga masih belum mesra OKU dan warga emas antaranya, Jambatan Besi Keretapi Lama Segamat yang mempunyai tanjakan kerusi roda terlalu curam, mural di sepanjang Jalan Ismail di Segamat yang sukar diakses dengan kerusi roda serta Taman Eko Rimba di Labis yang langsung tidak mempunyai kemudahan akses untuk golongan ini.
Jika isu-isu seperti aksesibiliti dan keselamatan ini tidak diselesaikan, ia sedikit sebanyak boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi tempatan, terutamanya kepada peniaga kecil dan sederhana yang bergantung kepada kunjungan pelancong.
Penglibatan sektor swasta turut diperlukan bagi memastikan dana mencukupi untuk membangunkan kemudahan seperti laluan mesra OKU, papan tanda yang lebih jelas dan tempat duduk rehat di kawasan pelancongan.
Kemudahan untuk OKU dan warga emas adalah lambang masyarakat yang prihatin. Kita perlu membina negeri yang boleh dibanggakan, bukan hanya kerana keindahan tempatnya tetapi juga kerana nilai-nilai yang kita perjuangkan.
Dengan komitmen seperti ini, Johor bukan sahaja berjaya dalam pelancongan tetapi juga dapat membangunkan masyarakat yang lebih penyayang, inklusif dan berdaya maju.-UTUSAN
NG KOR SIM
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jementah










