Pinda akta jangan sampai sekat suara rakyat

Pinda akta jangan sampai sekat suara rakyat

PINDAAN Akta Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 memerlukan garis panduan yang jelas, hukuman seimbang dan langkah-langkah yang melindungi kebebasan bersuara rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN baru-baru ini mencadangkan pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024, bermatlamat untuk menangani aktiviti penipuan serta melindungi kanak-kanak daripada kandungan berbahaya dalam talian. Usaha ini memang patut dipuji, terutama dalam melindungi golongan yang mudah terkesan dalam era digital ini.

Sebagai seorang bapa, langkah-langkah untuk menangani masalah seperti buli siber dan eksploitasi kanak-kanak dalam talian adalah amat dialu-alukan. Namun, di sebalik niat baik kerajaan, beberapa kebimbangan perlu diberikan perhatian.

Antara lain, penggunaan istilah seperti ‘kandungan yang sumbang dan lain-lain’ atau ‘jelik melampau’ dalam pindaan ini berpotensi menimbulkan masalah jika tidak diberikan takrifan yang jelas.

Sebagai contoh, apalah nilai ambang kepada terma ‘jelik melampau’ bagi kesalahan Seksyen 233? Adakah kritikan pedas terhadap dasar kerajaan boleh dianggap sebagai ‘jelik melampau’, yang telah ditakrifkan sebagai kandungan yang memaki dan tidak senonoh yang menyinggung perasaan ramai pihak?

Tanpa panduan yang jelas, risiko untuk menekan suara rakyat adalah nyata.

Pindaan yang dicadangkan juga menetapkan denda sehingga RM500,000 dan hukuman penjara sehingga lima tahun. Hukuman ini mungkin terlalu berat, terutama jika dikenakan ke atas kesalahan kecil. Pindaan ini boleh menyekat kebebasan bersuara khalayak umum.

Cadangan pindaan di dalam rang undang-undang ini perlu juga perlu dilihat dari konteks keputusan kerajaan sebelum ini untuk mewajibkan platform media sosial seperti Facebook dan TikTok mendapatkan lesen mulai tahun hadapan. Langkah ini dijangka membawa kepada penapisan yang berlebihan, yang mana platform-platform ini akan lebih berhati-hati dan cenderung menapis kandungan secara berlebihan untuk mengelakkan hukuman.

Melindungi masyarakat daripada ancaman di dunia maya memang penting, tetapi kerajaan perlu berhati-hati agar tidak merencatkan ruang diskusi yang sihat. Pindaan undang-undang ini perlu memastikan garis panduan yang jelas, hukuman yang seimbang dan langkah-langkah yang melindungi kebebasan bersuara rakyat.

Matlamat untuk mewujudkan persekitaran digital yang selamat boleh dicapai tanpa mengorbankan prinsip-prinsip demokrasi. Dengan pendekatan yang telus dan adil, kerajaan boleh membina keyakinan rakyat serta mencapai objektifnya tanpa mencetuskan kesan sampingan yang tidak diingini.-UTUSAN

SHARAFUDDIN ABDUL GHANI
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN