Perniagaan oleh universiti kurangkan kebergantungan kerajaan

Perniagaan, pelaburan universiti awam kurangkan kebergantungan kepada kerajaan

PENDAPATAN daripada perniagaan membantu universiti mengurangkan kebergantungan terhadap pembiayaan kerajaan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNIVERSITI awam (UA) bukan sahaja berperanan sebagai institusi pendidikan tinggi, tetapi juga sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi negara. Dalam menghadapi cabaran kewangan semasa, UA perlu berinovasi dalam mencipta peluang penjanaan pendapatan melalui penubuhan perniagaan dan pelaburan strategik. Inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian kewangan, tetapi juga meningkatkan mutu pengurusan universiti dalam aspek infrastruktur, infostruktur, hospitaliti dan perkhidmatan.

Perniagaan dan pelaburan milik universiti, seperti pengoperasian outlet, kedai, rumah penginapan, dan hotel, memainkan peranan penting dalam menjana pendapatan tambahan.

Contohnya, rumah penginapan dan hotel yang diuruskan oleh universiti bukan sahaja memenuhi keperluan pelajar, staf, dan pelawat, tetapi juga menarik pelancong dan pelawat luar untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan sekaligus memberi keuntungan kepada universiti.

Selain itu, outlet dan kedai milik universiti dapat menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada vendor luar. Keuntungan yang diperoleh boleh disalurkan semula untuk meningkatkan kemudahan pelajar, pembangunan akademik, dan penyelidikan.

Pendapatan daripada perniagaan ini membantu universiti mengurangkan kebergantungan terhadap pembiayaan kerajaan. Kejayaan universiti dalam melaksanakan inisiatif ini mampu meningkatkan daya saing dan keupayaan autonomi mereka. Dengan sumber kewangan yang lebih kukuh, UA boleh menaiktaraf mutu perkhidmatan melalui penyediaan infrastruktur seperti bangunan baharu, makmal moden serta teknologi pendidikan terkini yang menyokong proses pengajaran dan pembelajaran dalam usaha menjadikan institusi penyelidikan berkualiti tinggi yang berada pada aras tersendiri.

Selain itu, impak penubuhan perniagaan milik universiti turut membuka ruang dan peluang kepada para pelajar untuk menimba pengalaman bekerja sebagai pekerja sambilan.

Penubuhan perniagaan dan pelaburan milik universiti awam adalah strategi yang bukan sahaja menjana pendapatan tetapi juga menyokong kelestarian kewangan dan kemampanan pengurusan universiti. Pendekatan ini juga sejajar dengan usaha untuk menjadikan universiti sebagai pusat kecemerlangan yang berdaya tahan dalam mendepani cabaran masa depan. – UTUSAN

AMIRUL SALAM HASAN
Pejabat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Terengganu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN