SETIAP tahun pada 9 Disember, masyarakat dunia menyambut Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah menerima penubuhan Konvensyen Menentang Rasuah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCAC) pada 31 Oktober 2003.
Tarikh keramat itu telah dipersetujui 190 negara yang menyertai UNCAC termasuk Malaysia bagi membuktikan usaha memerangi rasuah bukan hanya dilakukan di negara ini malah turut dilakukan oleh masyarakat seluruh dunia yang bersama-sama bersatu menentang rasuah.
Meskipun ayat antirasuah ini agak negatif bagi sesetengah pihak, namun ia membawa pengertian lebih besar sekiranya setiap individu tidak kira usia ataupun gender memiliki sifat bencikan rasuah, salah guna kuasa dalam jati diri masing-masing.
Ini kerana, usaha memerangi rasuah tidak seharusnya menjadi tugas dan beban kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata tetapi memerlukan kerjasama semua pihak agar kita dapat melahirkan generasi atau individu yang berintegriti tinggi, jujur dan amanah.
Jika boleh, sikap bencikan rasuah ditanamkan sejak kecil atau dibangku sekolah oleh ibu bapa bak kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebung’ kerana jika kanak-kanak diajar sejak kecil bencikan rasuah tentunya apabila mereka dewasa kelak mereka akan mengelak melakukan rasuah disebabkan didikan awal mengenai kesan akibat mengambil rasuah sebagaimana hukumnya haram dalam agama Islam.
Bagaimanapun, didikan mengenai rasuah tidak harus berhenti di bangku sekolah malah perlu diteruskan sehingga peringkat menara gading kerana apabila graduan ini keluar bekerja mereka sudah mempunyai asas pegangan hidup yang berpegang kepada nilai-nilai integriti yang tinggi.
Justeru, ayuh kita bersama-sama SPRM berganding bahu membanteras gejala rasuah tidak kira peringkat usia, sebagaimana tema sambutan HARA pada tahun ini iaitu “Bersatu dengan belia menentang Rasuah: Membentuk Integriti hari esok”.
Dengan tema yang memfokuskan kepada golongan remaja, tentu sekali ia membawa maksud yang besar kerana golongan ini adalah pemimpin negara pada masa depan. Jika berterusan didedahkan dengan gejala rasuah dan salah laku maka tidak mustahil mereka akan mudah terjebak jika usaha pencegahan tidak dilakukan dengan berterusan.
Cegahlah sebelum ia menjadi barah dan terus merebak seperti virus yang tiada penghujungnya. Sekiranya anda sayangkan negara ini janganlah menutup sebelah mata dan membiarkan gejala rasuah terus berlaku sehingga ia melarat menjadi wabak yang lebih sukar untuk terus dibendung semua pihak.-UTUSAN
NABILAH HUDA RAZALI
Bukit Ampang










