Penyakit meningokokus ancam jemaah umrah

Penyakit meningokokus ancam jemaah umrah

SEMUA jemaah yang bercadang mengerjakan umrah untuk mendapatkan vaksin meningokokus sekurang-kurangnya dua minggu sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA masa lalu, wabak penyakit meningokokal invasif dikaitkan dengan perhimpunan keagamaan secara besar-besaran seperti umrah, terutamanya pada 1987 dan ia melanda sekali lagi pada 2000. Letusan wabak ini menunjukkan kepentingan kaedah pencegahan melalui vaksinasi wajib.

Penyakit meningokokus, yang disebabkan oleh bakteria neisseria meningitidis (N. meningitidis) merebak melalui titisan cecair pernafasan dan air liur, menjangkiti lapisan otak dan saraf tunjang (menyebabkan meningitis) atau aliran darah (septisemia), yang mengakibatkan pendarahan pada pelbagai organ.

Apabila merebak ke dalam darah, ia boleh menyebabkan demam, menggigil, kelesuan, cirit-birit, mual, sesak nafas dan sakit badan. Meningitis adalah penyakit yang memerlukan rawatan kecemasan kerana boleh membawa maut dalam masa 24 jam, dengan gejala seperti demam, leher tegang, sakit kepala, sensitif terhadap cahaya, kebingungan dan koma.

Gejala-gejala ini boleh berkembang dengan pantas dan apabila berjuta-juta jemaah dari pelbagai negara berkumpul dalam keadaan yang sesak seperti ketika menunaikan umrah, jangkitan ini boleh membawa maut.
Walaupun mendapat rawatan, sehingga 15 peratus individu yang dijangkiti akan meninggal dunia dan sehingga 20 peratus daripada pesakit yang berjaya diselamatkan mengalami kesan jangka panjang seperti kecederaan otak, pekak, kerosakan buah pinggang dan kehilangan anggota badan.

Keadaan ini boleh dicegah dengan vaksin meningokokus yang memainkan peranan utama dalam melindungi jemaah dan populasi yang lebih besar.

Di peringkat global pula, penyakit meningokokus dianggarkan menjadi penyebab kepada hampir 300,000 kematian setiap tahun. Walaupun kadar kelaziman penyakit ini di Malaysia masih tidak dapat dipastikan, namun data menunjukkan ramai jemaah pulang ke tanah air sebagai pembawa, yang melonjakkan kadar jangkitan dalam kalangan ahli keluarga mereka yang tidak divaksin. Ia memberi implikasi besar kepada kesihatan awam, yang diburukkan lagi oleh kerintangan bakteria terhadap penisilin.

Secara ringkasnya, penyakit meningokokus mudah merebak dan cepat berkembang, boleh menjadi penyakit yang sukar dirawat dan walaupun dengan rawatan, ia boleh membawa akibat yang buruk, malah menyebabkan kematian.

Vaksinasi dipersetujui pihak berkuasa kesihatan dan agama.

Objektif syariah (Maqasid syariah) mengutamakan usaha melindungi nyawa dan akal serta mencegah kemudaratan. Justeru, vaksin meningokokus untuk jemaah umrah bukanlah sekadar keperluan teknikal. Sebaliknya, ia adalah kewajipan agama dan tanggungjawab sosial yang perlu dipandang serius oleh semua jemaah, bukan untuk diri sahaja bahkan orang di sekeliling mereka, dengan membantu mencegah ledakan wabak dalam kalangan jemaah semasa umrah dan juga mengelakkan penularan penyakit apabila kembali ke tanah air.

Dengan mengambil kira beban penyakit meningokokal invasif, yang melibatkan kos kewangan untuk rawatan, kemasukan ke hospital dan penjagaan jangka panjang, sehinggalah kepada ketidakupayaan sepanjang hayat.

Saya menggesa semua jemaah yang bercadang mengerjakan umrah untuk mendapatkan vaksin meningokokus sekurang-kurangnya dua minggu sebelum berangkat ke Tanah Suci, termasuklah mereka yang telah menerima vaksin lebih tiga tahun yang lalu.
Hanya dengan satu langkah yang mudah ini, anda boleh melindungi diri sendiri, rakan jemaah dan orang yang disayangi.-UTUSAN

DATUK DR. MUSA MOHD NORDIN
Pengerusi, Majlis Penasihat, Persekutuan
Persatuan Perubatan Islam (FIMA)
Pakar Perunding Pediatrik, Hospital Pakar Damansara

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN