PENDAKWAH berperanan menjadikan dirinya sebagai contoh dengan cara yang lebih sempurna agar disanjungi dan dihormati sebagai pendakwah.
Ramai netizen marah apabila pendakwah selebriti dari negara jiran mencela seorang peniaga air yang mencari rezeki halal dan merasa itu sangat keterlaluan.Tetapi malangnya sikap yang sama tidak ditunjukkan kepada sesetengah pendakwah yang suka mengungkapkan perkataan tidak sopan di pentas ceramah.
Hal ini bukan sahaja tidak diberikan kritikan hangat, malah disanjung dan dipertahankan atas alasan itu adalah cara orang tempat tertentu bertutur dan bercakap.
Orang Barat terbiasa bertutur dengan menggunakan perkataan kesat hampir dalam setiap ayat tetapi kenapa tidak nampak pula pendakwah selebriti dari negara berkenaan mengungkap perkataan kesat di pentas ceramah? Adakah kita boleh menerima jika pendakwah berkata kotor dan suka mencela?
Lisan adalah curahan apa yang di dalam hati sebagaimana gelas hanya menumpahkan apa terisi di dalamnya. Jika isi hati baik, maka baiklah lisannya. Jika kotor hatinya, maka kotorlah lisannya.
Pendakwah yang baik perlu mengetahui faktor yang paling penting untuk melaksanakannya dengan cara yang paling baik dan mendapat taufiq Allah SWT ialah mengikhlaskan diri kepada Allah, tidak dicampuri dengan sesuatu yang lain seperti riak dan suka menonjol diri.
Pendakwah mudah terdedah kepada fitnah sekiranya dakwahnya begitu berkesan dan mempesonakan orang ramai serta orang ramai mengelilingi mereka. Oleh itu, mereka hendaklah sentiasa mentajdidkan dan mengikhlaskan niat mereka hanya kerana Allah SWT semata-mata.
Pendakwah hendaklah memastikan dirinya mengikut ajaran Allah SWT dalam berdakwah. Gunalah pendekatan yang terbaik dalam dakwah, iaitu berdakwah dengan cara yang terbaik. Itulah usaha dan kewajipan seorang pendakwah. Namun, urusan berkaitan pemberian petunjuk dan penyesatan serta pembalasan terhadap kedua-duanya diserahkan kepada Allah SWT semata-mata.
Dia lebih mengetahui keadaan orang yang tidak mahu meninggalkan kesesatan kerana ikhtiarnya yang buruk dan keadaan orang yang mengikut petunjuk kerana dia mempunyai persiapan yang baik. Apa yang digariskan oleh Allah SWT untuk berdakwah, itulah yang dituntut oleh hikmah dan itu telah cukup untuk memberikan petunjuk kepada orang yang mahu mengikut petunjuk serta menghilangkan alasan daripada orang yang sesat.
Pelaksanaan dakwah haruslah terancang rapi, serius, sistematik, terarah dan berkesinambungan, bukan secara sambil lewa. Pendakwah mesti benar-benar serius, memanfaatkan segenap tenaga fikiran, dana, kemampuan untuk menyelamatkan masyarakat agar tidak jatuh dalam kemurkaan Allah.
Ciri-ciri pendakwah yang unggul mestilah memiliki niat yang betul, sentiasa melakukan penyucian jiwa (tazkiyatul nufus), melazimi zikir, sentiasa mendekatkan diri kepada Allah (muraqobatullah), memahami konsep fiqh dakwah, melazimi Qiamullail, menghiasi diri dengan sifat terpuji dan menjauhi segala sifat tercela.
Wahai pendakwah yang budiman, ayuh bersihkan pentas ceramah agama daripada makian dan kata-kata kesat kerana ia dihadiri juga oleh anak kecil. Mereka tidak sepatutnya mendengar kata-kata kesat, kelak akan dicontohi. Semoga Allah selamatkan kita semua.-UTUSAN
DR. KHALILULLAH AMIN AHMAD
Pensyarah
Fakulti Al-Quran dan Sunnah
Universiti Islam Antarabangsa Tuanku
Syed Sirajuddin (UniSIRAJ)










