SAYA terpanggil untuk menulis di ruangan Forum ini, kerana merasakan pihak yang berwajib tidak serius menjaga imej korporat mereka. Pihak berwajib yang dimaksudkan di sini ialah Petronas Dagangan Berhad (PDB), iaitu anak syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Secara spesifik, papan tanda ini, yang dipanggil Paparan Pengenalan Utama (MID), terletak di stesen minyak PDB, Jalan Plumbum N 7/N, Seksyen 7, Shah Alam.
Secara kewarasan akal, salah satu daripada tanggungjawab hakiki sesebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mahupun swasta adalah menjaga aset-aset supaya berada dalam keadaan baik, tidak cacat ataupun sakit mata memandang.
Sekiranya papan tanda tersebut berada dalam keadaan lusuh atau pudar, maka orang ramai pasti merasa kurang keyakinan terhadap keberkesanan serta tadbir urus GLC berkenaan. Sementelah, PDB dan Petronas adalah GLC yang ternama di tanah air.
Justeru, saya ingin menggesa agar pihak PDB membaik pulih papan tanda MID ini. Aset ini dapat dilihat oleh beribu orang pemandu kenderaan kerana ia begitu tinggi.
Sejujurnya, saya telah memerhatikan situasi aset ini sejak sekian lama. Saya mula memberikan maklum balas kepada pihak PDB dengan menghantar e-mel kepada Pengarah Urusan PDB pada 9 September 2024. Isu yang sama telah dihantar ke platform X, syarikat berkenaan (@Petronas) pada 24 September 2024. Namun, tidak mendapat respons daripada mereka.
Adalah diharapkan, dengan tersiarnya aduan tentang kecacatan papan tanda MID tersebut di ruangan ini, pihak PDB akan mengambil tindakan yang betul, dengan mengecat kembali aset yang telah pudar ini, dengan kadar segera.-UTUSAN
KAMARUDDIN HASSAN
Seksyen 8, Shah Alam.










