Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyatakan sokongan penuh terhadap gesaan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) untuk memansuhkan fi RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mesin pengeluaran wang automatik (ATM). Fi ini memberi tekanan tambahan kepada pekerja berpendapatan rendah, khususnya mereka yang sudah bergelut dengan peningkatan kos sara hidup. Caj ini dilihat membebankan kerana ramai pekerja yang tinggal di kawasan pedalaman atau kurang akses menyebabkan terpaksa menggunakan perkhidmatan bank lain.
Fi RM1 mungkin kelihatan kecil, tetapi ia memberi impak besar kepada mereka yang sering mengeluarkan tunai. Pekerja yang menerima gaji secara mingguan atau harian, contohnya, akan menanggung beban kewangan lebih tinggi kerana kekerapan pengeluaran. Dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini, setiap sen adalah sangat bermakna untuk golongan pekerja dan keluarga mereka.
MTUC juga menegaskan institusi kewangan dan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) mempunyai tanggungjawab sosial untuk memastikan perkhidmatan mereka tidak menjejaskan kebajikan rakyat. Pemansuhan fi ini akan menunjukkan keprihatinan terhadap golongan rentan dan membuktikan sektor perbankan bersedia untuk menyokong rakyat. Kami mengambil maklum semasa pandemik Covid-19, fi ini dimansuhkan sebagai langkah membantu rakyat menghadapi cabaran kewangan.
MTUC percaya pendekatan ini harus dikembalikan kerana rakyat masih menghadapi kesukaran kewangan dalam proses pemulihan ekonomi.
MTUC turut menyokong cadangan agar golongan tertentu, seperti pekerja berpendapatan rendah, warga emas, dan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar diberikan pengecualian sekiranya pemansuhan sepenuhnya tidak dapat dilaksanakan.
MTUC menyeru Bank Negara Malaysia, PayNet, dan semua institusi kewangan untuk mengambil langkah segera memansuhkan fi ini. Langkah ini akan meringankan beban kewangan pekerja, meningkatkan kepercayaan terhadap sistem perbankan dan menunjukkan empati yang sangat diperlukan dalam situasi ekonomi semasa.-UTUSAN
MOHD EFFENDY ABDUL GHANI
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)










