PERBANKAN Islam menjadi alternatif yang semakin menarik berbanding konvensional dan Malaysia berada pada kedudukan kukuh untuk memimpin sektor ini di peringkat global.
Berteraskan prinsip yang melarang faedah (riba) dan penekankan pelaburan beretika, perbankan Islam terus mendapat perhatian daripada pelbagai lapisan masyarakat, terutama di negara-negara yang majoriti penduduknya umat Islam.
enjelang akhir 2023, industri ini menguruskan aset melebihi AS$ 2 trilion sekali gus menunjukkan potensi pertumbuhan yang besar.
Malaysia merupakan antara negara terawal menerajui perbankan Islam moden dengan penubuhan Bank Islam pada 1983. Disokong oleh rangka kerja peraturan yang kukuh daripada Bank Negara Malaysia dan juga Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, institusi-institusi ini menunjukan komitmen tegar dalam memastikan kestabilan dan integriti produk kewangan Islam.
Tambahan pula, dasar proaktif negara termasuk insentif cukai dan rangka kerja undang-undang yang komprehensif, berjaya menarik minat pelabur tempatan dan antarabangsa, mengukuhkan lagi perkembangan industri ini.
Pada akhir tahun lalu, pembiayaan bank-bank Islam di Malaysia mencapai lebih RM190 bilion, menjadikan Malaysia pasaran perbankan Islam ketiga terbesar di dunia, menurut data Fitch Ratings.
Pembiayaan berasaskan syariah menyumbang sebanyak 42 peratus daripada pinjaman sistem domestik, meningkat daripada 41 peratus pada akhir 2022, didorong oleh strategi Utamakan Islam yang menyokong pertumbuhan ini.
Kemajuan teknologi dapat memainkan peranan penting dalam perkembangan sektor perbankan Islam di Malaysia. Penggunaan platform digital, kerjasama fintech (teknologi kewangan) dan inisiatif blockchain berpotensi membantu meningkatkan kepuasan pelanggan dan menjadikan operasi lebih efisien.
Di samping itu, pelaburan besar dalam pendidikan dan latihan dapat memastikan bekalan tenaga kerja profesional yang berkemahiran dalam kewangan Islam mencukupi. Institusi seperti Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) dan universiti-universiti tempatan patut menawarkan lebih banyak program khusus yang relevan bagi membangunkan kepakaran dalam bidang ini.
Melihat ke hadapan, bank-bank Malaysia berpotensi untuk mengembangkan sayap dan meneroka pasaran baharu di benua Afrika, Asia Tengah mahupun negara-negara Eropah kerana minat terhadap kewangan beretika dan lestari semakin meningkat.
Melalui pembangunan instrumen kewangan inovatif yang sejajar dengan prinsip Islam, seperti sukuk hijau, bank-bank Malaysia boleh menarik pangkalan pelanggan yang lebih luas dan menyumbang kepada kewangan beretika serta kelestarian alam sekitar.
Selain itu, Malaysia berpeluang untuk memainkan peranan yang penting dalam menetapkan piawaian global bagi industri perbankan Islam. Malaysia boleh menganjurkan lebih banyak forum persidangan antarabangsa seperti Forum Ekonomi dan Kewangan Islam Antarabangsa (GFIEF).
Prinsip etika perbankan Islam menawarkan alternatif yang berjanji berbanding kewangan konvensional. Rangka kerja peraturan yang kukuh, inisiatif strategik dan kemajuan teknologi di Malaysia menyediakan asas yang kukuh untuk menerajui kepimpinan global, mewujudkan sistem kewangan yang lebih inklusif dan beretika, sebaris dengan falsafah madani.-UTUSAN
OMESH CHAND
Mahasiswa Ekonomi Kewangan Universiti Sunway










