PERSATUAN Pengurusan Pembersihan Malaysia (MACM) mengalu-alukan usaha kerajaan untuk melaksanakan kontrak pembersihan berasaskan prestasi (PBC) mulai awal tahun depan.
Pada masa ini kontrak pembersihan terikat dengan bilangan pekerja yang perlu dibekalkan oleh kontraktor. Sekiranya gagal, kontraktor akan didenda sehingga RM200 sehari bagi setiap seorang pekerja yang kurang.
Kontraktor pembersihan seolah-olah pembekal buruh dan bukan penyedia perkhidmatan pembersihan. Ia membunuh inisiatif kontraktor untuk memilih kaedah yang terbaik dalam menyampaikan perkhidmatannya iaitu kualiti terbaik dengan harga terendah.
PBC menekankan pada hasil kerja dan bukan buruh yang melakukan kerja tersebut. Ia memberi kebebasan kepada kontraktor untuk menggunakan kepintaran memilih kaedah kerja yang paling berkesan sama ada mekanikal, automasi atau digital. Yang penting ialah hasil kerja, kualiti kebersihan yang dicapai.
Penggunaan teknologi dalam kerja-kerja pembersihan seperti robotik, memerlukan pekerja dengan kemahiran teknikal untuk mengendalikannya. Jika sebelum ini, kontraktor menggunakan pekerja asing tanpa kemahiran, penggunaan teknologi membuka peluang kepada pelatih Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)tempatan dengan tawaran gaji yang lebih tinggi.
Kualiti perkhidmatan dijangka bertambah baik kerana pelanggan menilai setiap cadangan pembersihan berdasarkan rekod prestasi kontraktor dan kaedah pembersihan yang dicadangkan dan bukannya harga setiap seorang pembersih.
Selepas bertahun dianggap sebagai pembekal buruh, tumpuan kontraktor adalah untuk membekalkan pekerja yang cukup mengikut kontrak, tanpa mengira prestasi kerja mereka.
Bagi kebanyakan pelanggan, asalkan kawasan nampak bersih, tiada sampah sarap, sudah cukup, walaupun skirting dinding kotor, sampah terkumpul di bucu, di belakang pintu dan di bawah alas kaki.
Kontraktor gagal melatih pekerja mereka dan pelanggan gagal memastikan standard pembersihan dicapai. Manakala kerajaan menumpukan pengurangan kebergantungan kepada buruh terutamanya pekerja asing. Akibatnya, pembersihan biasa-biasa sahaja.
Tanpa pengetahuan tentang masa kerja yang diperlukan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan, kontraktor lebih cenderung mengurangkan bilangan pekerja bagi menawarkan harga serendah mungkin.
Pelanggan yang terbiasa dengan tahap kebersihan yang rendah, lebih cenderung memilih harga terendah yang ditawarkan. Kerajaan akan menganggap PBC mencapai objektifnya, kerana bilangan pekerja dikurangkan. Akan tetapi, adakah kualiti perkhidmatan bertambah baik?
Kontraktor bukan sahaja perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam kerja-kerja pembersihan, dia juga perlu tahu menganggar bilangan pekerja berdasarkan masa kerja diperlukan untuk membersih mengikut kekerapan yang diperlukan bagi keluasan yang ditetapkan.
Pengetahuan ini membolehkan kontraktor memilih kaedah kerja yang paling berkesan, mengurangkan masa kerja dan meningkatkan kualiti kerja. Bilangan pekerja boleh dikurangkan dengan bantuan perkakas, peralatan yang lebih produktif dan berkesan serta pekerja terlatih. Mengurangkan bilangan pekerja tanpa bantuan perkakas dan peralatan yang sesuai, tidak akan membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Harga kontrak tidak akan lebih murah dengan mengurangkan pekerja. Kontraktor perlu menyediakan jentera dan peralatan yang lebih mahal dan membayar gaji pekerja mahir lebih tinggi, untuk menghasilkan pembersihan yang lebih berkualiti.
Kejayaan PBC bergantung kepada sejauh mana kita menghargai kebersihan dan semahal mana kita sanggup membayar untuk harga pembersihan. Dalam menilai bidaan pembersihan, berapakah nisbah kualiti dan harga yang akan kita gunakan, 70:30 atau 50:50?-UTUSAN
NORUDDIN IDRIS
Presiden Persatuan Pengurusan Pembersihan Malaysia (MACM)










