LAGI kemalangan maut melibatkan kenderaan berat seperti lori kontena, treler dan lori kecil dilaporkan berlaku sejak kebelakangan ini.
Sebagai ‘pengguna kecil’ di jalan raya, pastinya saya berasa khuatir apabila berselisih dengan kenderaan berat dipandu secara laju dan melulu kerana ia ibarat ‘bom jangka’ yang boleh mendatangkan malapetaka kemalangan sekiranya berlaku.
Memetik jawapan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah di Dewan Rakyat pada Jun lalu, sebanyak 652 kemalangan melibatkan kenderaan berat seperti lori kontena, lori kecil dan bas ekspres direkodkan bagi suku pertama 2024.
Daripada jumlah itu, sebanyak 287 kes maut dicatatkan dengan 95 mangsa cedera parah dan 270 mangsa cedera ringan.
Apabila kerap berlaku kemalangan melibatkan kenderaan komersial atau perdagangan terutamanya lori kontena dan treler, sudah timbul cakap-cakap yang kurang enak didengar dalam kalangan masyarakat.
Bagi mereka, peningkatan kes kemalangan ini didakwa berpunca daripada kurangnya pemantauan daripada pihak berkuasa, wujudkan elemen rasuah dalam penguatkuasaan selain bentuk hukuman yang lemah dan lapuk menyebabkan ia tidak menimbulkan ‘kegerunan’ kepada pemilik dan pemandu kenderaan berat ini.
Tambahan pula risiko tinggi dimiliki kenderaan berat ini apabila berlakunya kemalangan adalah ia membawa kematian kepada pengguna jalan raja yang lain terlibat.
Sememangnya apa yang dikhuatiri dan ditakuti oleh pengguna jalan raya terhadap kenderaan berat ada asasnya. Ini memandangkan kemalangan melibatkan kenderaan berat cenderung mengakibatkan impak lebih teruk disebabkan fizikal kenderaan bersaiz besar sekali gus memberi kesan kerosakan ketara dan kecederaan lebih serius.
Antara punca kemalangan melibatkan kenderaan berat yang dikenalpasti adalah menukar lorong dalam jarak tidak selamat, pemandu kurang atau tidak sihat, titik buta semasa menukar lorong atau memotong, penglihatan terhad dan jalan licin akibat hujan dan kenderaan yang tidak diselenggara secara berkala.
Justeru itu, bagi mengelakkan lebih banyak tragedi ‘malang tidak berbau’ melibatkan kenderaan berat dan pengguna jalan raya lain, saya cenderung melihat tindakan awal perlu bermula dari pemilik kenderaan perdagangan ini.
Para pengusaha serta majikan kenderaan perdagangan wajar melaksanakan tapisan terperinci di peringkat dalaman bagi memastikan tahap kesihatan pemandu berada pada tahap terbaik, kesiapsiagaan dan kemahiran dalam pemanduan kenderaan tersebut.
Keduanya, pengusaha dan majikan perlu tegas dalam memastikan kondisi kenderaan berat sentiasa dalam keadaan terbaik.
Di sinilah pentingnya aspek penyelenggaraan kenderaan secara berkala perlu dipatuhi dan dilaksanakan tanpa gagal selain mematuhi sepenuhnya pemeriksaan kenderaan bagi memastikan kenderaan itu selamat dan layak berada di atas jalan raya.
Pada masa yang sama, agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disarankan untuk terus mempertingkatkan lagi penguatkuasaan undang-undang terhadap kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.-UTUSAN
MOHD ZAINI OTHMAN
Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










