DALAM sesebuah kerajaan, perkhidmatan awam memainkan peranan penting sebagai tulang belakang dalam melaksanakan dasar-dasar dan memastikan kelancaran pentadbiran. Namun, apabila terdapat kakitangan yang tidak jujur, mementingkan diri sendiri dan terlibat dalam rasuah, keseluruhan sistem boleh terjejas.
Ketidaktelusan ini menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil langkah drastik, seperti menambah bilangan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mewujudkan jabatan integriti khusus bagi memantau tingkah laku kakitangan kerajaan. Langkah ini bukan sahaja memerlukan perbelanjaan tambahan, malah mengganggu kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.
Salah satu kesan utama daripada ketidaktelusan dan amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam ialah peningkatan kos operasi kerajaan. Kerajaan terpaksa memperuntukkan dana besar untuk melantik lebih ramai pegawai SPRM bagi mengawal dan memantau kakitangan awam.
Peruntukan ini sepatutnya boleh disalurkan kepada sektor lain seperti pendidikan, kesihatan dan pembangunan infrastruktur. Namun, kerana perbuatan segelintir individu yang tamak dan tidak berintegriti, wang rakyat terpaksa digunakan untuk menangani masalah ini.
Selain itu, kewujudan jabatan integriti khusus juga memerlukan sumber yang besar, bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi juga tenaga kerja dan teknologi. Jabatan ini ditubuhkan untuk memastikan setiap kakitangan kerajaan mematuhi kod etika dan undang-undang yang ditetapkan.
Walaupun langkah ini penting untuk memastikan ketelusan, ia menimbulkan persoalan, mengapa integriti perlu dipantau dengan begitu ketat? Sepatutnya, kejujuran dan integriti harus menjadi asas dalam jiwa setiap penjawat awam, bukan sesuatu yang dipaksakan atau diawasi secara berterusan.
Kemajuan teknologi juga telah membawa kepada pelaburan dalam alat-alat canggih bagi mengesan salah laku dan rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan. Sistem pemantauan elektronik, pangkalan data berpusat dan teknologi pengawasan lain digunakan untuk memastikan setiap tindakan dapat dikesan. Namun, teknologi ini memerlukan kos tinggi dan tidak dapat sepenuhnya menghapuskan masalah jika masalah integriti tidak ditangani.
Realitinya, semua langkah ini hanya bersifat reaktif dan bukan penyelesaian jangka panjang. Kejujuran dan integriti harus dipupuk dari dalam diri setiap individu, bukan sekadar bergantung pada pemantauan luaran. Pendidikan moral dan etika perlu ditekankan sejak awal lagi, bermula dari sistem pendidikan hingga ke alam pekerjaan. Penjawat awam harus sedar bahawa mereka memikul tanggungjawab besar kepada negara dan rakyat. Sebarang bentuk salah laku akan memberi kesan buruk kepada keseluruhan masyarakat.
Adakah mungkin suatu hari nanti setiap kakitangan kerajaan akan dipantau secara individu oleh anggota SPRM? Jika ini berlaku, ia menunjukkan satu kegagalan besar dalam sistem nilai masyarakat. Idea ini menggambarkan betapa seriusnya masalah integriti dalam kalangan kakitangan kerajaan sehingga memerlukan pengawasan sedemikian rupa. Ini bukan sahaja tidak praktikal, tetapi juga melambangkan krisis kepercayaan yang mendalam antara kerajaan dan rakyat.
Sebaliknya, pendekatan yang lebih berkesan ialah memperkukuhkan budaya kerja berintegriti melalui latihan dan program pembangunan sahsiah. Kakitangan kerajaan perlu diberi pendedahan tentang pentingnya integriti, bukan hanya dari aspek undang-undang, tetapi juga tanggungjawab moral.
Sistem ganjaran dan hukuman yang adil juga harus dilaksanakan untuk mendorong tingkah laku positif dan menghalang salah laku.
Kerajaan juga perlu menunjukkan contoh teladan yang baik dalam kalangan pemimpin tertinggi. Apabila pemimpin bersikap telus dan berintegriti, nilai-nilai ini akan mengalir ke seluruh organisasi. Sikap ini akan membina persekitaran kerja yang sihat, dengan setiap individu merasa bertanggungjawab terhadap tugas dan amanah yang diberikan.-UTUSAN
CHE RAHMAH AHMAD
Taman Bintang, Parit Sulong, Johor










