Seiring dengan kemajuan teknologi tinggi pada hari ini, ia mewajarkan pihak Lembaga Tabung Haji (TH) untuk memanfaatkan kelebihan tersebut supaya urusan terhadap bakal-bakal haji dapat dilaksanakan lebih fleksibel dan efisien.
Pun begitu, kami menyambut baik konsep baharu yang diperkenalkan oleh kerajaaan menerusi TH mengenai ‘istitoah’ namun ia agak mengelirukan.
Malah terdapat pula kategori bakal haji muassasah yang dibuat penilaian berdasarkan dapatan pangkalan data daripada pihak agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Apakah ukuran penilaian istitoah dan mengapa pula ada bantuan subsidi daripada kerajaan kepada golongan B40?
Bagaimana pula untuk mengetahui sama ada bakal haji memenuhi syarat istitoah sedangkan kadar kos bayaran dua kali ganda bezanya.
Sepatutnya kos bayaran perkhidmatan dan tambang haji adalah sama tanpa dibezakan mengikut kumpulan kategori. Tidakkah dengan cara ini menyerupai amalan berkasta? Faktanya kedudukan mereka yang mengerjakan ibadah haji adalah sama tanpa mengenal perbezaan taraf atau darjat.
Dan, adilkah pihak kerajaan memperkenalkan konsep istitoah kepada bakal haji akan datang sedangkan mereka yang telah mengerjakan haji sebelum kaedah ini kurang terbeban terutamanya bagi kes yang memerlukan mahram.
Konsep penggiliran bakal haji ‘yang dahulu didahulukan’ yang sekian lama digunapakai dianggap sudah tidak lagi relevan memandangkan TH menekankan mengenai kepentingan istitoah yakni berkemampuan.
Sistem penggiliran yang berkonsepkan ‘Yang dahulu didahulukan’ sewajarnya diubah mengikut perkembangan dan peredaran semasa kerana ia boleh menyebabkan tempoh menunggu giliran agak panjang. – UTUSAN
CUCU TOK JANGGUT
Pulau Pinang










