Hargai pemimpin terdahulu cermin adab, budaya Melayu

Hargai pemimpin terdahulu cermin adab, budaya Melayu

TINDAKAN anak muda menghargai jasa pemimpin terdahulu bukan sahaja mencerminkan adab, tetapi juga membina semangat patriotisme.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA adalah sebuah negara yang kaya dengan sejarah dan budaya. Sepanjang tempoh pembangunan negara, ramai pemimpin menyumbang jasa besar dalam membentuk Malaysia yang kita kenali hari ini.

Salah seorang tokoh yang meninggalkan legasi besar ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau dikenali sebagai Bapa Pemodenan Malaysia.

Dalam dunia yang semakin terpecah dengan perbezaan fahaman politik, anak muda Melayu dan rakyat Malaysia perlu sentiasa beringat untuk menghargai jasa pemimpin terdahulu, bukan dipengaruhi oleh ideologi politik. Sikap, adab dan budaya orang Melayu yang berteraskan hormat serta penghargaan, perlu kekal menjadi panduan utama dalam menilai sejarah.

Dr. Mahathir memainkan peranan penting dalam mengubah wajah Malaysia melalui pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial. Visi beliau seperti Wawasan 2020 membuka jalan untuk Malaysia menjadi negara maju yang disegani. Walaupun terdapat perbezaan pandangan terhadap beberapa keputusan beliau, hakikatnya sumbangan besar beliau tidak boleh dinafikan.

Sebagai rakyat yang berbudaya, kita harus membezakan antara menghormati jasa dan menyokong ideologi politik. Menghargai sumbangan pemimpin bukan bermakna kita setuju dengan segala tindakannya, tetapi ia mencerminkan adab kita sebagai masyarakat yang menghormati sejarah.

Adab dan budaya orang Melayu sentiasa mengutamakan sikap hormat kepada yang lebih tua dan mereka yang berjasa. Ini termasuk pemimpin-pemimpin terdahulu yang telah berusaha keras membina asas negara.

Dalam konteks politik, perbezaan fahaman sering kali menimbulkan perselisihan dan perpecahan. Namun, penting untuk diingat sikap saling menghormati adalah asas kepada perpaduan. Mengkritik pemimpin adalah perkara biasa dalam politik, tetapi melupakan jasa mereka adalah sesuatu yang bertentangan dengan nilai budaya kita.

Pembangunan infrastruktur seperti Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Menara Berkembar Petronas dan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) adalah legasi besar Dr. Mahathir yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

Begitu juga, dasar-dasar ekonomi seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan penswastaan yang diperkenalkan beliau telah membawa banyak perubahan positif, terutamanya kepada golongan bumiputera.

Sebagai generasi muda, kita perlu melihat perkara ini secara objektif dan menghargai usaha pemimpin terdahulu dalam memperbaiki kehidupan rakyat.

Sebagai rakyat Malaysia, kita juga perlu menghormati sumbangan pemimpin-pemimpin lain seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn. Mereka semua menghadapi cabaran besar dalam era masing-masing, termasuk membebaskan negara daripada penjajahan, membina asas ekonomi dan mengekalkan kestabilan politik.

Penting juga untuk anak muda memahami bahawa sikap menghargai jasa pemimpin terdahulu bukan sahaja mencerminkan adab, tetapi juga membina semangat patriotisme. Patriotisme bukan sekadar mengibarkan bendera atau menyanyikan lagu kebangsaan, tetapi juga menghormati mereka yang telah berjuang untuk negara.

Dengan sikap ini, kita dapat membina generasi yang lebih matang dan bertanggungjawab, yang mampu memimpin negara ke arah yang lebih baik.-UTUSAN

AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Alam Impian, Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN