Harga tiket penerbangan perlu mesra mahasiswa

Harga tiket penerbangan perlu mesra mahasiswa

DIHARAPKAN tiada pihak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga tiket yang boleh mengurangkan impak positif subsidi yang diberikan oleh kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSATUAN Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK) ingin merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada kerajaan atas penerusan inisiatif FLYSiswa, iaitu subsidi tiket penerbangan yang diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, semasa Majlis Perasmian Karnival FLYSiswa 2024.

Program FLYSiswa 2024 dijangka memberi manfaat kepada sekitar 60,000 mahasiswa yang meliputi universiti awam, politeknik, kolej komuniti, dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Dengan peruntukan RM24 juta, inisiatif ini juga menyaksikan peningkatan jumlah subsidi pembelian tiket penerbangan daripada RM300 kepada RM400, yang diharap dapat mengurangkan beban kewangan mahasiswa, khususnya golongan yang kurang berkemampuan.

Langkah proaktif ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus diberi perhatian. Ia juga selaras dengan hasrat murni untuk menyokong pembangunan pendidikan tinggi negara, terutamanya bagi mahasiswa yang perlu melakukan perjalanan jauh untuk pulang ke kampung halaman, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, Alumni MPPK menyeru semua syarikat penerbangan agar menyokong penuh inisiatif ini dengan menyediakan harga tiket yang lebih mesra mahasiswa. Diharapkan pihak-pihak ini tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga tiket yang boleh mengurangkan impak positif subsidi yang diberikan oleh kerajaan.

Alumni MPPK yakin bahawa inisiatif seperti FLYSiswa akan memberi kesan yang besar dalam meringankan beban mahasiswa dan menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara. Semoga usaha ini dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa hadapan demi manfaat semua pihak. – UTUSAN

MUHAMMAD AMIR ASYRAF MOHD SABRI
Presiden Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (ALUMNI MPPK)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN