Fokus kedaulatan negara, bukan kepentingan individu

Fokus kedaulatan negara, bukan kepentingan individu

KEDAULATAN Batu Puteh bukan sekadar isu teknikal atau sejarah, tetapi simbol perjuangan mempertahankan maruah negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANGKATAN Muda Harapan (AMH) kecewa dengan sikap pemimpin pembangkang, termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dilihat lebih tertumpu kepada mempertahankan individu tertentu berbanding memberi tumpuan kepada dapatan keseluruhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu Batu Puteh. Pendekatan ini tidak menggambarkan komitmen kepada kedaulatan negara, malah mencemarkan semangat patriotisme yang seharusnya menjadi asas perjuangan semua rakyat Malaysia.

RCI ini, yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara dan dianggotai oleh pakar undang-undang serta tokoh berpengalaman, adalah badan bebas yang ditubuhkan untuk mencari kebenaran dan mengesyorkan langkah-langkah bagi memastikan kedaulatan negara tidak tergugat. Justeru, adalah tidak wajar untuk pembangkang hanya menumpukan kepada satu aspek laporan RCI, seperti cadangan laporan polis terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad, tanpa memberi perhatian kepada cadangan lain yang lebih menyeluruh dan strategik demi mempertahankan kedaulatan negara.

Cadangan seperti penilaian semula proses rundingan antarabangsa, penambahbaikan mekanisme pengurusan isu sempadan negara dan pengukuhan peranan institusi diplomatik adalah antara langkah konkrit yang dicadangkan dalam laporan tersebut. Fokus pembangkang sepatutnya kepada usaha memastikan semua cadangan ini dilaksanakan dengan telus dan berkesan, bukan sekadar mempertahankan individu tertentu atas dasar sentimen politik.

Langkah siasatan terhadap mana-mana pihak, termasuk laporan polis terhadap Dr. Mahathir adalah sebahagian daripada proses keadilan yang bebas dan tidak bermotifkan politik. Ia tidak bermakna jasa besar beliau sebagai negarawan dinafikan, tetapi menunjukkan tiada individu yang kebal daripada keperluan bertanggungjawab terhadap tindakan mereka. Kepentingan mempertahankan negara adalah lebih utama daripada kepentingan peribadi atau ketaksuban kepada mana-mana individu.

Kedaulatan Batu Puteh bukan sekadar isu teknikal atau sejarah, tetapi simbol perjuangan mempertahankan maruah negara. Semua pihak mesti meletakkan patriotisme dan integriti di hadapan dalam menyelesaikan isu ini.-UTUSAN

AMMAR ATAN
Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan
& Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN