DALAM era globalisasi ini, tanggungjawab sosial korporat (CSR) menjadi satu aspek penting dalam strategi perniagaan syarikat. Sesebuah syarikat perusahaan tidak lagi dilihat hanya sebagai entiti yang mencari keuntungan, tetapi juga sebagai entiti yang mempunyai peranan sosial dalam masyarakat.
Baru-baru ini beberapa negeri telah menerima taburan hujan lebat dan mengakibatkan banjir teruk di beberapa lokaliti khususnya di Kelantan dan Terengganu. Jika diamati, pelbagai pihak yang terpanggil untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.
Usaha itu bukan hanya dilakukan oleh badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta, malah pengusaha produk makanan, penawar perkhidmatan automobil dan juga pengasas kosmetik turut turun padang untuk bersama-sama dalam melaksanakan misi bantuan bencana banjir dengan menjadikannya sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Program bantuan kepada mangsa banjir bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, malah ia juga berfungsi sebagai strategi pemasaran yang efektif untuk meningkatkan keterlihatan jenama sesebuah syarikat.
Apabila bencana ini berlaku, peranan syarikat sebagai agen perubahan sosial menjadi sangat penting. Dengan melaksanakan program bantuan banjir, syarikat dapat menunjukkan komitmen mereka terhadap tanggungjawab sosial dan peranan mereka dalam membantu masyarakat. Ini bukan sahaja mencipta imej positif dalam kalangan pelanggan, tetapi juga meningkatkan kesedaran terhadap jenama syarikat tersebut.
Namun, kelebihan daripada melaksanakan CSR tidak terhad kepada aspek sosial sahaja.
Program bantuan kepada mangsa banjir juga memberikan faedah dari segi pemasaran.
Dalam dunia perniagaan yang kompetitif, syarikat yang menunjukkan tanggungjawab sosial yang tinggi sering kali menarik perhatian pelanggan. Pengguna kini lebih cenderung untuk menyokong jenama yang mempunyai nilai-nilai sosial yang positif. Dengan itu, syarikat dapat meningkatkan jualan dan memperoleh pelanggan baharu melalui inisiatif ini.
Di Malaysia, kerajaan juga memberikan sokongan kepada syarikat yang melaksanakan program CSR melalui pengecualian cukai. Syarikat yang membuat sumbangan kepada badan kebajikan atau melaksanakan program sosial tertentu boleh menikmati pengecualian cukai. Ini merupakan insentif yang baik untuk syarikat-syarikat yang ingin terlibat dalam usaha murni ini.
Dengan adanya pengecualian cukai, syarikat dapat mengurangkan beban kewangan mereka sambil terus memberikan bantuan kepada masyarakat. Langkah ini juga menunjukkan bahawa kerajaan mengiktiraf dan menghargai peranan syarikat dalam membantu masyarakat.
Faedah lain yang mungkin diperoleh oleh syarikat adalah peningkatan reputasi dan kredibiliti. Syarikat yang aktif dalam program CSR sering kali dilihat sebagai pemimpin dalam industri mereka. Ini dapat meningkatkan kepercayaan pelanggan dan pemegang saham terhadap syarikat tersebut.
Selain itu, syarikat juga dapat menarik perhatian media, yang seterusnya meningkatkan keterlihatan jenama. Dalam dunia yang semakin terhubung dengan media sosial, maklumat tentang inisiatif CSR dapat disebarkan dengan cepat, menjadikan jenama lebih dikenali dalam kalangan masyarakat.
Inisiatif program tanggungjawab sosial oleh syarikat dapat meningkatkan keterlihatan jenama, membina hubungan positif dengan pelanggan serta menikmati faedah pengecualian cukai daripada kerajaan seterusnya membantu syarikat mencapai kejayaan berterusan melalui reputasi yang kukuh.-UTUSAN
DR. SITI NURAIN MUHMAD
Pensyarah (Tadbir Urus Korporat dan Kewangan Islam
Fakulti Perniagaan, Ekonomi
dan Pembangunan Sosial
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)










