Bahasa Melayu tonggak perpaduan, identiti negara

Bahasa Melayu tonggak perpaduan, identiti negara

PENGGUNAAN bahasa Melayu secara meluas memberi mesej rakyat Malaysia menghormati bahasanya sendiri.-MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDAPAT Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing, yang menyatakan penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa boleh mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan pelancong perlu diteliti dengan lebih mendalam.

Cadangan tersebut dilihat kurang menitikberatkan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Mengetepikan bahasa Melayu demi memberi ruang kepada penggunaan dwibahasa secara meluas bukan sahaja merendahkan martabat bahasa kebangsaan, malah bertentangan dengan usaha negara untuk mengekalkan jati diri dan perpaduan nasional.

Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi tetapi simbol kedaulatan dan identiti Malaysia. Sebagai bahasa kebangsaan, penggunaannya di ruang awam termasuk pada papan tanda mencerminkan jati diri negara. Meminggirkan bahasa Melayu dalam usaha menarik pelancong membawa kepada imej Malaysia tidak menghormati bahasanya sendiri.

Negara-negara maju seperti Perancis, Jepun dan Korea Selatan tetap mempertahankan bahasa kebangsaan walaupun dalam sektor pelancongan. Langkah ini menonjolkan keunikan budaya dan pelancong menghormati kesungguhan tersebut.

Pelancong asing sering mencari pengalaman asli apabila melawat sesebuah negara. Mereka ingin melihat keunikan budaya, bahasa dan warisan negara yang dikunjungi. Bahasa Melayu yang digunakan secara meluas, termasuk pada papan tanda, dapat memberikan pengalaman ini. Menggantikan atau menyamakan kedudukan bahasa Melayu dengan bahasa lain hanya akan melemahkan daya tarikan budaya Malaysia.

Pendapat kononnya pelancong akan melihat Malaysia sebagai negara rasis atau ekstrem akibat penggunaan bahasa Melayu adalah tidak berasas. Bahasa tempatan adalah sebahagian daripada keunikan sesebuah negara, bukan faktor yang menyebabkan pelancong merasa tidak diterima. Pelancong menghormati negara yang bangga dengan warisan budaya dan bahasanya sendiri, bukan negara yang terlalu bergantung kepada bahasa asing untuk menyesuaikan diri.

Dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia, bahasa Melayu memainkan peranan penting sebagai alat perpaduan. Penggunaan bahasa Melayu di papan tanda awam membantu menanamkan rasa kebersamaan dalam kalangan rakyat. Jika penggunaan dwibahasa diperluas tanpa kawalan, ini boleh menimbulkan jurang antara kaum yang mungkin lebih cenderung kepada bahasa ibunda masing-masing, lalu melemahkan peranan bahasa Melayu sebagai alat penyatuan.

Pendekatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menguatkuasakan papan tanda dwibahasa, dengan bahasa Melayu sebagai keutamaan, adalah langkah penting dan proaktif untuk memastikan bahasa kebangsaan terus dihormati. Tindakan ini sepatutnya dilihat sebagai usaha ke arah menyemai semangat kebangsaan, bukan sekadar penguatkuasaan peraturan.

Penggunaan bahasa Melayu secara meluas pada papan tanda perniagaan memberikan mesej jelas kepada masyarakat tempatan dan pelancong asing bahawa Malaysia menghormati bahasanya sendiri. Hal ini juga mendidik generasi muda untuk memahami dan menghargai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Jika dwibahasa diberikan keutamaan tanpa sekatan, terdapat risiko generasi muda akan melihat bahasa Melayu sebagai kurang relevan. Ini boleh membawa kepada penghakisan nilai budaya dan warisan negara dalam jangka panjang.

Malaysia boleh memanfaatkan bahasa Melayu untuk meningkatkan daya tarikannya di mata dunia. Bahasa Melayu adalah antara bahasa yang dituturkan secara meluas di Asia Tenggara, dengan penutur di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan selatan Thailand. Menjadikan bahasa Melayu sebagai elemen penting dalam sektor pelancongan boleh mengangkat imej bahasa ini ke peringkat antarabangsa.

Sebaliknya, penggunaan dwibahasa secara meluas boleh memberi persepsi bahasa Melayu kurang penting di negara asalnya sendiri. Hal ini bertentangan dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu di arena global.

Malaysia terkenal dengan kepelbagaian budaya dan bahasa, namun bahasa Melayu adalah elemen yang menyatukan semua. Dengan menonjolkan bahasa kebangsaan, Malaysia memperlihatkan keunikan yang membezakannya daripada negara lain.

Penggunaan dwibahasa boleh diamalkan secara fleksibel dan mengikut keperluan tertentu, seperti di kawasan pelancongan utama atau lapangan terbang. Namun, penggunaan ini harus tetap mengekalkan bahasa Melayu sebagai keutamaan. Tidak semua ruang awam perlu menggunakan dwibahasa secara meluas, terutama di kawasan yang majoritinya dihuni rakyat tempatan.-UTUSAN

CIKGU BULAN
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN