Atasi segera ketidakmampuan kuasai 3M

Atasi segera ketidakmampuan kuasai 3M

BEBERAPA langkah segera perlu diambil bagi memastikan pelajar tahun satu dapat menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) dengan baik. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA sesi akademik 2024/2025, statistik yang mengejutkan menunjukkan sebanyak 122,062 daripada 448,113 murid tahun satu (27.24 peratus) masih belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

Salah satu punca utama adalah masalah kesihatan dengan ramai murid mengalami masalah penglihatan, pendengaran dan gangguan perhatian (ADHD) yang menghalang mereka daripada memberi tumpuan dalam pembelajaran. Tanpa rawatan atau sokongan yang sesuai, murid-murid ini akan menghadapi kesukaran untuk menguasai kemahiran asas yang diperlukan.

Selain itu, ketiadaan sumber pembelajaran di rumah seperti buku dan bahan pendidikan lain juga menjadi salah satu punca. Ibu bapa yang sibuk dengan kerja atau kurang terlibat dalam proses pendidikan menyebabkan anak-anak tidak mendapat sokongan yang mencukupi.

Peranan guru juga tidak kurang pentingnya. Kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah memainkan peranan besar dalam membentuk kemahiran asas murid. Guru yang tidak mempunyai latihan yang mencukupi atau tidak cukup kreatif dalam mengajar mungkin menghadapi kesulitan dalam menarik minat murid untuk belajar. Kekurangan bahan pengajaran yang menarik serta kekangan masa dalam jadual pengajaran juga menjadi cabaran dalam memastikan murid menguasai kemahiran 3M dengan baik.

Begitu juga murid dari keluarga berpendapatan rendah menghadapi kekurangan sumber pendidikan seperti buku, alat tulis dan akses kepada internet. Ini membataskan mereka daripada mendapat sumber pembelajaran tambahan di luar sekolah, sekali gus menyukarkan mereka untuk mengikuti perkembangan pembelajaran di dalam kelas.

Untuk mengatasi masalah ini, beberapa langkah boleh diambil. Pertama, pihak sekolah perlu bekerjasama dengan ibu bapa untuk memastikan mereka lebih terlibat dalam pendidikan.

Program kesedaran tentang pentingnya pendidikan dan peranan ibu bapa dalam memastikan anak-anak mendapat sokongan di rumah perlu diperkenalkan. Kedua, latihan dan sokongan kepada guru perlu dipertingkatkan. Guru perlu dilatih untuk menggunakan teknik pengajaran lebih berkesan dan kreatif serta diberikan alat bantu mengajar yang sesuai untuk menarik minat murid.

Selain itu, penyediaan sumber pendidikan yang lebih baik di tadika juga perlu diberi perhatian. Program prasekolah yang menyeluruh dan memberi penekanan kepada penguasaan asas 3M boleh membantu memastikan murid memasuki tahun satu dengan persediaan yang lebih baik.
Pengawasan kesihatan murid juga perlu diperketatkan dengan memastikan mereka yang mengalami masalah kesihatan mendapat rawatan dan sokongan yang sesuai agar mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran.-UTUSAN

NOR AZIRAH A.R
Sekolah Menengah Kebangsaan
(SMK) Dengkil, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN