Adendum Najib bukan bahan ujikaji perundangan

Adendum Najib bukan bahan ujikaji perundangan

PIHAK Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya membisu apabila salinan asal Titah Adendum yang ditandatangani serta dimeteraikan berada dalam simpanan responden keempat iaitu Lembaga Pengampunan, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur semenjak 29 Januari 2024 lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMUM mengetahui kes rayuan isu adendum perayu Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan sehingga awal Januari 2025 disebabkan wujudnya bukti baharu menerusi afidavit yang diikrarkan oleh anak beliau, Datuk Mohamad Nizar Najib bertarikh 2 Disember 2024.

Dokumen afidavit berkenaan adalah suatu lampiran tambahan terkini menerusi rekod rayuan bagi tujuan meyakin serta menguatkan kes pihak perayu.

Dokumen afidavit serta lampirannya menjadi rujukan umum yang dihebahkan menerusi media sosial.

Maka, sekali lagi segala isi serta kandungan yang tercatat di dalam afidavit yang diikrarkan berkenaan bakal terjawab sama ada mahkamah rayuan berpuas hati untuk membenarkan rayuan berkenaan atau sebaliknya.

Dalam apa jua situasi perayu, wajar diberikan keadilan pada tahap maksimum supaya afidavit terkini berkenaan tidak dianggap sebagai ‘peluru kosong’ malah pengesahan ke atas isi kandungannya wajar dibuat oleh pihak yang disebut menerusi dokumen bersumpah berkenaan.

Pihak-pihak yang disebut menerusi afidavit yang diikrarkan wajib membuat pengesahan bertulis sama ada menerusi dokumen bersumpah atau sebarang ikatan dokumen yang dibenarkan undang-undang.

Antara isi kandungan afidavit berkenaan yang dikira penting untuk mendapat pengesahan rasmi adalah:
Klausa 6 – Antaranya tercatat “ Baginda Tuanku memberitahu saya bahawa semua kandungannya adalah sama dengan yang rasmi yang Baginda Tuanku telah tandatangan dan yang dimeteraikan yang juga yang diserahkan kepada responden keempat pada 29 Januari 2024 di Istana Negara” .

Klausa 7(a) – Antaranya tercatat “ Saya mengikrarkan bahawa saya telah menerima Titah Adendum daripada Pengelola Biyaja Di-Raja KDPB Sultan Pahang pada 17 Ogos 2024 dengan arahan tegas supaya tidak menggunakan dokumen tersebut untuk apa-apa tujuan melainkan setelah saya memperoleh kebenaran nyata daripada baginda Tuanku”.

Selanjutnya “ Saya mengesahkan bahawa telah berjaya memperoleh kebenaran baginda pada 2 Disember 2024“.

Justeru, pihak Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya membisu apabila salinan asal Titah Adendum yang ditandatangani serta dimeteraikan berada dalam simpanan responden keempat iaitu Lembaga Pengampunan, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur semenjak 29 Januari 2024 lagi.

Oleh yang demikian, menteri yang bertanggungjawab wajib menjawab adakah isu serius yang dibangkitkan menerusi afidavit bersumpah berkenaan adalah suatu pembohongan yang melampau atau sebaliknya.

Rakyat sedang menanti kenyataan rasmi berkenaan. – UTUSAN

RAHMAD ISAHAK
Aktivis Politik

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN