Zakat dalam tuntutan maqasid syariah memainkan peranan penting memenuhi tujuan syariah untuk kesejahteraan dan kemaslahatan ummah.
Maqasid syariah penting untuk menjaga dan melindungi lima aspek utama iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta, yang mana setiap aspek mempunyai hubungan yang erat dengan objektif zakat dalam Islam.
Bantuan pendidikan zakat selari dengan maqasid syariah, iaitu menjaga akal yang berperanan untuk memastikan setiap individu mendapat peluang menuntut ilmu. Bantuan zakat pendidikan disalurkan daripada peringkat rendah, menengah hingga ke institusi pengajian tinggi.
Zakat turut memberikan sokongan kewangan kepada yang baharu memeluk Islam iaitu asnaf mualaf. Ini membantu menstabilkan kehidupan dan memberi peluang untuk memperkukuh keimanan dalam agama Islam supaya tidak terjebak dalam kesulitan yang boleh menyebabkan mereka meninggalkan agama Islam.
Zakat membantu meringankan beban golongan miskin untuk mendapatkan rawatan kesihatan termasuk menampung kos rawatan perubatan seperti pembedahan, rawatan hospital dan rawatan khusus bagi penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung serta pesakit hemodialisis. Dengan bantuan zakat, mereka boleh menjalani rawatan perubatan yang sewajarnya.
Bantuan zakat juga disalurkan untuk pembelian alat bantu perubatan seperti kerusi roda, alat bantuan pernafasan, mesin oksigen, katil pesakit, atau alat bantu pendengaran bagi golongan yang memerlukan.
Bantuan zakat paling banyak diagihkan untuk membantu golongan asnaf fakir dan miskin. Ia diagihkan mengikut keperluan asnaf seperti bantuan saraan bulanan dalam membantu memenuhi keperluan asas.
Pelbagai jenis bantuan zakat diwujudkan bagi mereka dapat menjalani dunia pekerjaan.
Di samping itu, zakat juga membantu ibu bapa yang tidak mampu untuk menyara anak-anak mereka dari segi pendidikan dan kesihatan. Hal ini dapat mengurangkan risiko kemiskinan yang diwarisi, di mana anak-anak membesar dalam keadaan serba kekurangan.
Zakat juga berfungsi untuk menggalakkan pengagihan kekayaan yang adil dalam masyarakat.
Selain itu, zakat memberi keharmonian sosial kepada asnaf kerana orang yang kurang bernasib baik merasa dihargai dan diperhatikan oleh mereka yang lebih mampu.
Maqasid syariah menekankan keadilan sosial sebagai salah satu tujuan utama dan zakat merupakan mekanisme yang sangat berkesan untuk mencapai matlamat ini. Pembayaran zakat secara teratur dan adil dapat memastikan bahawa setiap individu dalam masyarakat mendapat peluang yang sama untuk berkembang, tanpa adanya diskriminasi ekonomi. – UTUSAN
MOHD. YAKOP IKRAM
Ipoh, Perak










