Visa digital nomad beri manfaat kepada Malaysia

Visa digital nomad beri manfaat kepada Malaysia

VISA digital nomad menawarkan banyak manfaat untuk Malaysia dari sudut ekonomi, teknologi, budaya dan sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGENALAN konsep visa digital nomad menjadi satu trend global dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Menarik perhatian banyak negara ingin memanfaatkan golongan profesional digital. Digital nomad ialah pekerja bebas atau pekerja jarak jauh yang melakukan pekerjaan mereka dari mana-mana lokasi dengan bantuan teknologi. 

Malaysia, dengan kepelbagaian budaya, infrastruktur yang baik dan kos hidup yang berpatutan, berada dalam kedudukan unik untuk menarik digital nomad dari seluruh dunia. Visa digital nomad yang diperkenalkan di beberapa negara menunjukkan hasil yang positif dan memperkenalkan visa serupa di Malaysia akan memberi manfaat besar kepada ekonomi serta masyarakat.

Ini kerana ia dapat meningkatkan ekonomi tempatan dengan membawa masuk lebih banyak perbelanjaan dari luar negara. Apabila digital nomad menetap sementara di Malaysia, mereka membelanjakan wang di restoran, kafe, hotel, penginapan jangka panjang serta perkhidmatan tempatan seperti pengangkutan dan perkhidmatan perubatan. Ini akan memberi manfaat kepada perniagaan kecil dan sederhana di seluruh negara, terutamanya dalam sektor pelancongan dan perkhidmatan. 

Bahkan ia menjadikan Malaysia lebih terkenal di peringkat antarabangsa sebagai destinasi utama untuk digital nomad. Banyak digital nomad sering berkongsi pengalaman positif di Malaysia melalui media sosial atau blog. Mereka akan menjadi duta kepada negara ini. Mereka mungkin berkongsi testimoni mengenai keindahan alam, kepelbagaian budaya, makanan yang lazat serta kemudahan-kemudahan yang terdapat di sini. 

Selain itu, digital nomad visa akan memacu pertumbuhan sektor teknologi dan inovasi. Ramai daripada golongan digital nomad ini adalah pakar dalam bidang teknologi maklumat (IT), pemasaran digital, reka bentuk grafik dan pembangunan aplikasi. Apabila mereka berada di Malaysia, mereka boleh terlibat dalam rangkaian dengan penggiat industri tempatan dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman. 

Kolaborasi ini akan menggalakkan inovasi dan meningkatkan kemahiran pekerja tempatan, yang seterusnya akan memberi manfaat kepada ekosistem teknologi negara.

Kehadiran visa ini boleh membantu meningkatkan penggunaan teknologi dalam perniagaan kecil tempatan, berpotensi untuk meningkatkan penawaran pendidikan dalam bidang teknologi dan keusahawanan di Malaysia selain memberi faedah kepada sektor hartanah di Malaysia.

Antara lain, kelebihan visa ini juga membantu menggalakkan integrasi budaya antara pelawat antarabangsa dan rakyat Malaysia. Mereka berpeluang berinteraksi dengan penduduk tempatan, belajar tentang budaya dan bahasa. Pada masa sama memperkenalkan budaya mereka. Interaksi ini akan memupuk perasaan saling menghormati dan memahami manakala dalam jangka masa panjang boleh menyumbang kepada hubungan yang lebih baik antara negara.

Malaysia turut boleh meraih manfaat ekonomi jangka panjang daripada digital nomad yang akhirnya memutuskan untuk menetap atau melabur di sini. Beberapa digital nomad mungkin berasa selesa dengan gaya hidup di Malaysia dan memutuskan untuk mendirikan perniagaan atau melabur dalam projek tempatan. Ini akan memberi sumbangan kepada ekonomi negara melalui penciptaan pekerjaan dan peningkatan peluang perniagaan.-UTUSAN

 

AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN, 

Alam Impian, Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN