MALAYSIA dijangka menjadi negara tua pada 2030 apabila penduduk negara ini merangkumi warganegara yang berusia lebih 60 tahun dalam pola 15.3 peratus daripada jumlah penduduk negara.
Dalam konteks negara menua, isu perkhidmatan kesihatan dan sokongan sosial perlu untuk diberi tumpuan. Pada 2030, dianggarkan lebih 4.5 juta warga emas memerlukan akses perkhidmatan kesihatan berkualiti pada kos yang mampu milik.
Oleh itu, kerajaan perlu merangka strategi komprehensif bagi memastikan warga emas tidak hanya menerima rawatan perubatan tetapi juga penjagaan jangka panjang yang memenuhi keperluan mereka. Salah satu aspek penting dalam strategi ini adalah pendidikan kekeluargaan mengenai penjagaan warga emas. Dengan meningkatkan kesedaran serta pengetahuan tentang keperluan fizikal dan mental warga emas, ahli keluarga dapat memberikan sokongan yang baik. Ini termasuk memahami penyakit yang biasa, cara pengurusan ubat serta keperluan emosi. Pendidikan ini boleh diadakan melalui bengkel, seminar dan penyediaan sumber dalam talian yang memberi maklumat berguna tentang penjagaan warga emas.
Selain itu, kerajaan bertanggungjawab menyediakan program latihan khusus untuk penjaga, Dengan pengetahuan yang tepat, penjaga dapat memberikan penjagaan yang lebih selamat dan efektif kepada warga emas, sekali gus mengurangkan risiko kecederaan dan komplikasi kesihatan.
Program pencegahan penyakit dan promosi kesihatan melalui kempen juga perlu diperluas untuk membantu warga emas menjalani kehidupan yang lebih sihat dan aktif. Ia perlu melibatkan isu makanan seimbang, aktiviti fizikal dan pengurusan tekanan.
Selain itu, program saringan kesihatan berkala juga penting untuk mengenal pasti masalah kesihatan awal dan mengelakkan penyakit yang lebih serius.
Pendekatan ini bukan sahaja akan meningkatkan kualiti hidup warga emas, tetapi juga akan memberikan sokongan yang diperlukan kepada keluarga dan penjaga.
Dalam jangka panjang, ini akan memastikan masyarakat dapat menghadapi cabaran populasi menua dengan lebih baik, sambil memastikan setiap individu dapat menikmati kehidupan yang sihat dan bermakna.
Justeru, Malaysia perlu mengambil pendekatan holistik melibatkan kerajaan, sektor swasta dan masyarakat untuk membangunkan inisiatif yang berkesan. Strategi jangka panjang perlu dibentuk dengan memberi fokus kepada pendidikan, peningkatan kemahiran dan penyediaan perkhidmatan sosial yang berkualiti.
Di samping itu, program yang menggalakkan interaksi sosial dan penglibatan warga emas dalam masyarakat juga harus diperkenalkan. Dengan usaha kolektif ini, Malaysia berpotensi untuk menjadi negara yang lebih inklusif dan berdaya tahan, memastikan setiap lapisan masyarakat, terutama golongan terpinggir, dapat menikmati kehidupan dengan lebih baik.-UTUSAN
DR. MOHD KHAIRI ISMAIL
Felo Penyelidik Pasca Kedoktoran Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, dan Pensyarah (Ekonomi), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu.










