Sedihnya Gaza dikhianati umat Islam sendiri

Sedihnya Gaza dikhianati umat Islam sendiri

PENGKHIANATAN terhadap penderitaan rakyat di Gaza disebabkan rasa takut terhadap musuh melebihi Allah dan mencintai dunia melebihi segala-galanya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK dinafikan lagi sebahagian negara Arab bersama-sama rejim Israel melakukan kekejaman ke atas penduduk Gaza walaupun beberapa kali telah diadakan persidangan negara-negara Arab.

Malah tiada dalam perbincangan untuk memutuskan hubungan dengan Israel.

Lebih menyedihkan, pada 3 November lalu, Mesir membenarkan sebuah kapal perang Israel untuk melalui negaranya menerusi Terusan Suez bagi membunuh anak-anak Palestin di Gaza. Kapal perang tersebut bernama Sa’ar 6-class corvette buatan Jerman didedahkan Israel bahawa ia digunakan untuk menyasarkan Gaza.

Contoh lain, hasil daripada testimoni penduduk Gaza baru-baru ini juga mengesahkan antara anggota tentera Israel yang terlibat dalam operasi ketenteraan bercakap bahasa Arab yang memiliki dialek Emiriah Arab Bersatu.

Sehingga boleh membenarkan kapal perang dan menghantar anggota tentera untuk membantu Israel. Ia menunjukkan sebahagian negara Arab tidak menghiraukan langsung apa yang berlaku pada anak-anak bangsa Arab di Gaza, walaupun melibatkan nyawa dan darah.

Hal demikian merupakan hadiah daripada negara-negara Arab untuk menyenangkan hati Israel supaya tidak mendapat ancaman daripadanya.

Perkara sama turut berlaku pada 1099 lalu. Ketika tentera Salib berangkat daripada Antakya dengan membawa bala tentera seramai 80,000 anggota menuju ke Bait al-Maqdis. Jarak yang ditempuhi untuk sampai ke sana ialah sekitar 750 kilometer (km) jauhnya.

Perjalanan terbabit agak jauh dan mencabar, tetapi tahukah siapa yang membantu mereka? Mereka ialah umat Islam sendiri. Mereka bahkan memberikan hadiah-hadiah bernilai dan senjata kepada pemimpin tentera Salib ketika itu, Raymond IV dan ketumbukannya. Punca berlaku hal seperti ini akibat ketakutan umat Islam kepada kekejaman tentera Salib yang dilakukan penduduk-penduduk muslim yang kalah ketika memerangi mereka.

Hal yang sama berlaku pada pemimpin muslim di Hums (Syria) yang bernama Husain Malaib. Beliau menghantar seorang utusan kepada pihak tentera Salib untuk menyerahkan hadiah-hadiah bernilai agar tidak mendapat sebarang ancaman ketika ketumbukan tentera Salib sedang melalui daerah Hums. Kesemua ini disebabkan ketakutan mereka terhadap musuh melebihi Allah dan mencintai dunia melebihi segala-galanya.

Dr. Raghib Sirjani menyenaraikan empat punca umat Islam kehilangan kekuatan sepenuhnya untuk halang kemaraan ketumbukan tentera Salib menuju Bait al-Maqdis daripada menjajah dan membunuh umat Islam.
Pertama, hilangnya pegangan agama dalam dada dan tidak berpegang akidah yang sebenar. Seterusnya, umat Islam dalam keadaan amat berpecah dan bergaduh sesama sendiri.

Selain itu, umat Islam juga diuji dengan kepimpinan yang lemah dan penakut. Terakhir, umat Islam turut tidak mempunyai wawasan di masa hadapan untuk mengangkat agama Islam di atas muka bumi. Sedihnya keempat-empat punca yang disebutkan sedang berlaku sekali lagi pada zaman sekarang.-UTUSAN

MEGAT AIMAN HAKIM MEGAT SHARIFFUDIN
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN