SEPANJANG lima tahun bermula 2019 sehingga 2023, seramai 253 orang pelatih wanita yang berjaya tamat tempoh pemulihan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kembali ke jalan yang benar dan diredai Allah.
Pelbagai program dirancang dan dilaksanakan setiap tahun khusus kepada pelatih yang terlibat dengan gejala sosial dan akidah bagi melancarkan proses pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan agar mereka yang tersasar ini kembali ke pangkal jalan.
Setiap pelatih perlu mengikuti semua program pemulihan mengikut tempoh yang telah ditetapkan berdasarkan masalah sosial atau akidah yang dihadapi.
MAIS juga berharap masyarakat di luar sana turut memberikan sokongan dan dorongan kepada mereka yang telah berjaya dipulihkan ini, agar dapat istiqamah berubah ke arah yang lebih baik untuk mereka kekal di jalan yang benar dan menjadi insan Rabbani yang cemerlang dunia dan akhirat.
Begitu juga terhadap mereka yang dikenal pasti mempunyai masalah sosial dan ingin berubah, bolehlah berhubung terus dengan Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan MAIS.
Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan terletak di Sabak Bernam, Selangor merupakan salah sebuah Rumah Pemulihan Majlis (RPM)di bawah pengurusan MAIS menempatkan golongan wanita dan gadis yang terlibat dengan gejala sosial dan akidah. Mereka memerlukan bimbingan bagi proses pemulihan rohani dan jasmani.
MAIS juga mempunyai dua buah lagi RPM iaitu Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman dan Pusat Pemulihan Dadah Baitul Islah serta 26 buah Rumah Pemulihan Riqab (RPR) yang berdaftar berperanan membantu pemulihan mereka yang mengalami masalah sosial dan akidah dari pelbagai kategori.-UTUSAN
MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (MAIS)
Shah Alam, Selangor










