SAYA pernah mengulas tentang projek Transit Aliran Ringan (LRT) yang sedang dalam pembinaan di Pulau Pinang dengan mengatakan ia agak kurang sesuai kerana keadaan di negeri itu tidak sama seperti mana yang berlaku di Lembah Klang. Walaupun begitu, kita tidak menafikan Pulau Pinang memiliki tarikan tersendiri dan terkenal sebagai industri pelancongan.
Secara rasionalnya perkhidmatan LRT di Lembah Klang memiliki kriteria tertentu yang sangat diperlukan orang awam supaya memudahkan urusan perjalanan ke tempat kerja dan sebagainya.
Hal ini jauh berbeza dengan keadaan di Pulau Pinang. Jika ada pun tumpuannya mungkin paling jauh ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Bukit Bendera ataupun Batu Feringgi. Lagipun tidak ramai orang awam di Pulau Pinang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas henti-henti berbanding e-hailing.
Berdasarkan situasi itu, dapat dijangka projek LRT ini dipercayai akan mengalami nasib yang serupa seperti mana keadaan Projek Terowong Dasar Laut.
Saya bukanlah menentang segala usaha baik oleh pihak kerajaan tetapi telah melakukan kajian dan memperhalusi hal ini berdasarkan pengamatan kewajaran projek tersebut. Tidak keterlaluan saya berani mengatakan projek ini kelak bakal menjadi ‘gajah puteh’ yang orang ramai lambat-laun akan beransur-ansur tidak lagi berminat menggunakan perkhidmatan LRT.
Sepatutnya pihak kerajaan negeri terlebih dahulu memperhalusi sedalam-dalamnya keperluan tentang sesuatu perkara sebelum ia dilaksanakan. Ini tidak, kerajaan negeri seperti tidak serik dengan kegagalan projek pembinaan terowong dasar laut malahan terpalit pula kes rasuah sekali gus mengundang krisis kepercayaan rakyat negeri ini terhadap pentadbiran kerajaan Pulau Pinang.
Bahkan sehingga kini kes penyelewengan pembinaan terowong dasar laut masih terus diperkatakan oleh banyak pihak dan difahamkan ia masih lagi berjalan dan belum selesai.
Berbilion ringgit duit hilang entah ke mana tetapi bayangan rupa terowong pun sehingga sekarang tidak nampak. Bukankah lebih baik kerajaan membina lebih banyak jalan bertingkat sepanjang laluan yang dikenalpasti kerap sesak.
Pun begitu, saya menyambut baik dan menyokong kelulusan Projek Pembinaan Jalan Bertingkat di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) iaitu dari Sungai Dua ke Juru yang diumumkan semasa Pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Saya percaya dan yakin dengan siapnya pembinaan jalan bertingkat ini pastinya akan menyumbang kepada sektor industri pelancongan sejajar terbinanya kemudahan Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat dari Klang ke Perlis.-UTUSAN
PEMERHATI BEBAS POLITIK
Pulau Pinang










