KEINGINAN untuk mempunyai zuriat adalah fitrah manusia yang telah tertanam sejak azali. Namun, bagi sebahagian pasangan, perjalanan menjadi ibu bapa bukanlah satu pelayaran yang tenang.
Apabila harapan untuk mempunyai anak kandung semakin pudar, perasaan kosong dan kehilangan menjadi emosi yang menyelimuti jiwa buat pasangan berkahwin. Kekosongan ini bukanlah sekadar kesedihan semata-mata, tetapi satu jurang emosi yang dalam dan boleh membawa impak negatif sekiranya individu tidak dapat mengurusnya dengan baik.
Oleh itu, disarankan supaya setiap pasangan yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan cahaya mata membantu serta menyokong antara satu sama lain dengan cara berkomunikasi secara terbuka, membuat perbincangan tanpa menghakimi, meminta pendapat dan memahami emosi yang dirasai masing-masing.
Kepentingan dalam penglibatan sokongan pasangan memberi impak positif dalam rumah tangga dengan individu akan mensyukuri kebahagiaan dan kemanisan perkahwinan bukan sahaja dengan memiliki cahaya mata namun mempunyai pasangan yang baik.
Walaupun menghadapi cabaran berat, pasangan yang mengalami kesukaran mengandung boleh mengambil langkah-langkah untuk mengatasi emosi negatif dan meningkatkan kualiti hidup.
Terapi boleh membantu pasangan atau individu mengenal pasti dan mengatasi emosi yang sukar, serta membangun kemahiran mengatasi yang lebih berkesan. Anda boleh merujuk pakar atau ahli profesional seperti kaunselor, ahli terapi, pakar perubatan dan lain-lain untuk mendapatkan perkhidmatan. Kemudian, amalan kesedaran diri atau meditasi boleh membantu pasangan mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesedaran diri.
Bagi seorang Muslim, mereka disarankan untuk melihat kehidupan dari pelbagai sudut supaya dapat menanamkan rasa syukur kepada Ilahi atas kurniaan-Nya. Anda juga boleh melakukan senaman secara teratur untuk membantu meningkatkan mood dan mengurangkan kegelisahan.
Kesukaran mengandung merupakan satu perjalanan emosi yang kompleks dan mencabar. Dengan memahami kerumitan emosi yang terlibat, kita dapat memberikan sokongan yang lebih baik kepada pasangan yang sedang berjuang.
Penting untuk diingat setiap pasangan mempunyai pengalaman unik dan tidak ada satu pendekatan yang sesuai untuk semua. Dengan sokongan tepat, pasangan boleh menemukan kekuatan dalam diri mereka untuk mengatasi kesukaran dan membina kehidupan yang lebih bahagia.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. AZMAWATY MOHAMAD NOR & NURFARAHIRA AHMAD YACCOB
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya










